Wednesday, April 10, 2013

LAGI JANJI DITEPATI : SPAD LANCAR SKIM INSURAN K1DS UNTUK MURID SEKOLAH


Lebih 1.5 juta murid sekolah yang menaiki bas ke sekolah akan memanfaat skim insuran K1DS yang telah dilancarkan baru-baru ini di Sekolah Menengah Kebangsaan Presint 8 (I) Putrajaya oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar .

Di dalam ucapan, beliau berkata kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, amat prihatin terhadap keselamatan anak-anak yang menaiki bas ke sekolah setiap hari.  

Di dalam Bajet 2013, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengumumkan Skim Perlindungan Insurans Kemalangan Diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berlesen dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi Semenanjung Malaysia dan Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) untuk Sabah & Sarawak.

Perlindungan maksimum sebanyak RM100,000 dengan kos premium sebanyak RM 40 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan untuk tempoh dua (2) tahun.  Skim ini akan dikendali dan diuruskan oleh Syarikat Takaful Malaysia Berhad.  Takaful Malaysia telah dilantik melalui proses tender terbuka dimana semua syarikat insurans yang berdaftar dengan Kementerian Kewangan dibenarkan mengambil bahagian.

Skim Insurans Pelajar Sekolah S.P.A.D memberi manfaat kepada pelajar-pelajar yang menaiki bas sekolah seperti; 
  • Kematian akibat kemalangan - RM 100,000
  • Hilang keupayaan kekal - Sehingga RM 100,000
  • Bayaran perubatan - RM 3,000 maksimum (mengikut bil perubatan)
  • Manfaat hospital - RM100/sehari sehingga maksimum 30 hari
  • Khairat kematian - RM 2,500

Ibu bapa digalakkan menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berlesen dan pada masa yang sama untuk melumpuhkan perkhidmatan bas sekolah haram di samping memastikan kebajikan pelajar terjamin sekiranya mereka menghadapi keadaan yang tidak diduga.  

Untuk tujuan ini, SPAD telah membuat beberapa siri pertemuan dan ‘engagement’ dengan Kementerian Pelajaran dan Gabungan Persatuan Ibu-Bapa dan Guru Malaysia.

Kini terdapat lebih 17,000 buah bas sekolah di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.  Seperti juga dengan industri-industri lain, terutama sekali industri pengangkutan awam, apabila ada yang berlesen, maka akan ada juga yang tidak berlesen.  Bagaimana ini boleh berlaku? Apabila ada permintaan, maka akan ada penawaran.

BAS HARAM

Bagi membantu ibu-bapa mengenal pasti mana satu bas sekolah yang berlesen, mana yang tidak, setiap bas sekolah akan dibekalkan dengan pelekat khas “Bas Sekolah ini Dilindungi oleh Skim Insurans Murid-Murid Sekolah SPAD”. 

SPAD juga sedang membangunkan sistem pemeriksaan status bas sekolah yang boleh dilakukan melalui laman sesawang atau laman web dan juga SMS.  Sistem ini adalah platfom
terbaik untuk digunakan oleh ibu-bapa, pihak sekolah, pelajar sekolah dan juga orang awam untuk memeriksa status bas sekolah melalui nombor pendaftaran bas yang terbabit.  Ini akan memberi ‘sense of urgency’ kepada pengendali bas sekolah haram untuk melesenkan bas mereka dengan SPAD.


Dengan usaha SPAD ini juga, diharapkan lebih banyak pengusaha-pengusaha bas haram ini mendaftarkan  bas mereka dengan SPAD.  Satu proses pemutihan akan dijalankan kelak bagi membantu pengusaha bas sekolah haram yang berhasrat untuk memiliki lesen yang sah.

APAKAH FAEDAH PROSES PEMUTIHAN?

Apabila SPAD mengadakan skim ini, ia mempunyai kesan secara langsung kepada pengusaha-pengusaha bas sekolah.
  • Pertamanya, perkhidmatan bas sekolah yang berlesen dengan SPAD akan mendapat sambutan daripada ibu-bapa.  Ini akan menambah keyakinan dan memperbaiki persepsi awam. Dengan ini, pendapatan mereka akan bertambah secara langsung.  
  • Keduanya, pihak sekolah berasa yakin untuk menggunakan bas sekolah berlesen untuk tujuan aktiviti luar, baik kegiatan kokurikulum mahupun korikulum.
Dalam tempoh kurang 7 tahun daripada sekarang, negara akan mencapai taraf negara maju dan industri bas sekolah juga harus tidak ketinggalan bergerak seiring dengan industri-industri pengangkutan awam darat lain seperti MRT, LRT, Keretapi Berkelajuan Tinggi (High Speed Rail) dan lain-lain.  Oleh itu, SPAD menggalakkan pengusaha-pengusaha bas sekolah menukar bas mereka kepada bas yang baru.  Sesebuah kenderaan seperti juga kita manusia mempunyai jangka hayatnya sendiri. 

Apabila ia telah sampai ke satu tahap, struktur kenderaan akan menjadi semakin lemah dan berisiko tinggi.  Kita tidak mahu lagi melihat kemalangan-kemalangan yang menyayat hati yang melibatkan anak-anak kita pada masa akan datang akibat bas usang yang masih bergerak bebas di jalan raya.

Terdapat bas-bas sekolah yang menggunakan kenderaan yang berusia 30 tahun ke atas hanyalah 12% daripada (jumlah keseluruhan - 17,000 buah) bas sekolah di Semenanjung Malaysia.  

Oleh itu, SPAD mendalami isu ini secara menyeluruh dan sedang melaksanakan transformasi sistem pengangkutan awam.  Dalam mencapai matlamat ini, faktor-faktor seperti teknologi pembuatan kenderaan, keselamatan, kos operasi, pembiayaan kenderaan, naiktaraf ekonomi pengusaha dan lain-lain yang berkaitan akan diambil kira bagi mewujudkan situasi menang-menang di antara pengusaha bas sekolah, rakyat dan juga Kerajaan.

Semua usaha ini selaras dengan misi SPAD iaitu memastikan bahawa pengangkutan awam darat adalah selamat, boleh diharap, responsive, mudah diekses, terancang, bersepadu, mampu dibayar dan lestari bagi mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi dan kualiti hidup rakyat Malaysia.

SEKALI LAGI, KERAJAAN BN TELAH MENEPATI JANJI-JANJINYA UNTUK RAKYAT MENUJU WAWASAN 2020.


No comments: