Wednesday, November 27, 2013

JANGAN SALAHKAN SPAD JIKA MENGAMBIL JURUTERA LUAR NEGARA



"Ini adalah antara masalah yang dihadapi kita sekarang. Selain memerlukan mereka (jurutera) untuk membangunkan sistem kereta api sendiri, ada juga negara-negara lain mahukan khidmat mereka.
"Jadi hendak tidak hendak, kita kena bertimbang rasa dengan memberikan khidmat tersebut setakat yang kita ada dan mereka sebenarnya menyanjung Malaysia sebagai negara Islam yang mempunyai sistem pengangkutan darat yang baik," - Bernama

Demikian kenyataan CEO SPAD  kepada wartawan ketika merasmikan seminar 'The Institution of Railway Engineers (IRSE)' yang telah dianjurkan oleh IRSE dan SPAD Academy di Institute of Diplomacy and Foreign Relations Malaysia.

Nampaknya, kepakaran tenagakerja di dalam sektor rel sangat diperlukan hari ini di kala kerajaan sedang rancak merealisasikan impian rakyat menuju negara maju pada tahun 2020 dan SPAD adalah agensi utama di dalam sektor pengangkutan awam. Sektor pengangkutan awam darat adalah faktor yang sangat penting dan ia merupakan pra-syarat untuk Transformasi Ekonomi Malaysia.

Keperluan jurutera itu harus ditangani secepat mungkin memandangkan Malaysia juga berhasrat untuk meningkatkan kekerapan perjalanan keretapi dari 18 peratus sekarang kepada 40 peratus pada 2030, di samping target SPAD untuk menjadikan pengangkutan awam darat sebagai pilihan utama di darat.

Dan sektor keretapi adalah peranan terpenting di dalam menuju target ini.

Walaupun pihak JKR telah memulakan program Penyuburan Silang (Cross-Fertilisation) baru-baru ini, apa yang saya dapati ialah kebanyakan daripada mereka terdiri daripada pegawai-pegawai yang hampir bersara. Namun, kepada anak-anak muda yang berkelayakan, pihak universiti tempatan seperti Universiti Tun Husssein Onn Malaysia telah merancang memperkenalkan program Ijazah Sarjana Kejuruteraan Kereta Api di kampus baru di Kluang bermula Julai tahun depan.



SPAD academy yang telah dirasmikan pada April 2013, juga memainkan peranan penting agar kerjaya di dalam industri rel sebagai prospek kerjaya jangka panjang. Adalah dijangkakan bahawa Akademi SPAD akan berubah menjadi sebuah institusi yang mendidik, melatih dan sebagai tempat penyelesaian profesional kepada mereka-mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung di dalam industri pengangkutan
awam.

Di samping itu, Spad Academy juga akan menyokong rangka kerja pengawalseliaan bagi industri ini dan memastikan teknologi terkemuka, amalan industri, prestasi, piawaian dan penyampaian perkhidmatan dimulakan. Di akademi ini juga akan menggalakkan peluang silang, di persekitaran yang berstruktur untuk meningkatkan pendedahan, pengalaman dan kecemerlangan dalam industri.

Bagi mereka yang telah berada di dalam industri ini atau mereka yang ingin meningkatkan karier, laluan kerjaya mereka akan dipertingkatkan.

Ketika ini, SPAD Academy sedang dalam rangka untuk melancarkan modul dan program-programnya. Pada 2014 nanti, beberapa pengumuman akan dibuat dan masih perlu dikemaskini.

Selain daripada program-program kemahiran dan pendidikan, salah satu strategi SPAD Academy ialah untuk bekerjasama dan terlibat secara berkesan di peringkat informal dengan organisasi dan institusi yang sealiran seperti IRSE (The Institution of Railway Signal Engineers).

Oleh itu, kepada rakyat Malaysia terutama kepada generasi muda... persiapkan diri dan rebutlah peluang ini!

No comments: