Thursday, February 27, 2014

GRADUAN SULUNG SPRM ... AMANAH, PROFESIONAL DAN TEGAS



Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencipta sejarah apabila berjaya melahirkan 'graduan sulung' - 43 pegawai kadet yang menamatkan latihan komprehensif 12 bulan termasuk prestasi yang diukur bersandarkan kelas buat julung kali. 
 
Seramai 43 Kadet Penolong Penguasa (Gred P29) itu menerima sijil tamat latihan Kursus Asas Pegawai SPRM masing-masing di Dataran Kawad, Kompleks SPRM Johor di sini hari ini.
Mereka menjalani latihan dari 1 Mac 2013 dalam dua fasa. Daripada 43 Kadet Penolong Penguasa itu, 27 merupakan lelaki manakala baki adalah wanita. 

Menyifatkan pencapaian itu sebagai "detik bersejarah", Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, perkembangan ini menunjukkan pusat latihan SPRM iaitu Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) sudah berupaya melahirkan pegawai-pegawai profesional dan berkeupayaan tinggi mengikut keperluan dan kehendak semasa. 

Sehubungan itu kata beliau, model yang diperkenalkan oleh MACA itu mempunyai standard dan tanda aras yang tinggi. 

Malah kata beliau, kemajuan ini selari dengan pengikitirafan yang diberikan oleh Agensi PBB Mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) ke atas pematuhan SPRM terhadap Konvensyen PBB Mengenai Pencegahan Rasuah (UNCAC). 

Penilaian UNODC mengiktiraf MACA, yang beroperasi sejak 2005, sebagai penyedia latihan antarabangsa. 

“Model latihan ini merupakan satu model yang begitu holistik dan komprehensif," kata beliau pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 13 Bil. 1 Tahun 2013 (Penolong Penguasa Gred P29) yang berlangsung pada hari ini.

Abu Kassim menegaskan lagi, "Kadet Penolong Penguasa SPRM hendaklah melaksanakan amanah rakyat dengan melaksanakan tugasan yang diberi".

"(Kadet) perlu bersedia untuk berkhidmat di mana-mana tempat sekalipun dan menghadapi keadaan kerja sebenar di luar sana secara positif", tegas Abu Kassim lagi.

Natijah daripada itu, MACA telah mengkaji semula model Kursus Latihan Asas daripada tiga hingga enam bulan kepada 12 bulan termasuk latihan kerja dan psikologi. 

MACA juga memperkenalkan kurikulum tambahan dalam menyediakan kursus dan pembelajaran berterusan bagi semua warga kerja SPRM. 

Fasa pertama melibatkan sesi pembelajaran lima bulan dipecahkan kepada tiga program utama iaitu akademik yang mewakili 60 peratus, pengukuhan nilai dan etika (25 peratus) dan kemaihiran dan fizikal (15 peratus). 

Bagi program akademik, kadet perlu menduduki 4 modul utama iaitu Modul Transformasi Minda & Pentadbiran Am, Modul Undang-Undang dan Mahkamah, Modul Perisikan dan Modul Penyiasatan.

Bagi program pengukuhan nilai & etika pula, kadet kursus asas juga perlu menduduki Modul teambuilding, Modul tauhidik, Modul Pembinaan Karektor, Modul Janjiku dan Modul Nilai Murni & B-CAP 1 (Basic Anti-Corruption Awareness Program).

Buat julung kali, kata Tan Sri Abu Kassim, pegawai kadet siri ke-13 ini telah berjaya melaksanakan program “Merakyatkan SPRM” melalui program Anak Angkat di Kampung Luat, Lenggong Perak mulai 12 hingga 15 Februari 2014. 

Dalam pada itu, Fasa II selama tujuh bulan mengehendaki kadet menduduki tiga program utama di mana dua program Mentoring dan program Pemantapan perlu dijalani kadet Kursus Asas selama enam bulan dan program penilaian keseluruhan selama sebulan. 

Bagi program Mentoring terbahagi kepada tiga kategori utama iaitu pelantikan Mentor dan penempatan Menti, KPI tugasan(Input & Output) dan juga Laporan Penilaian Keseluruhan Program Pementoran. 

Bulan terakhir Kursus Asas tersebut merupakan Program Penilaian Keseluruhan di mana ia dibahagikan kepada lima Model utama iaitu B-CAP 2 (Basic Anti-Corruption Awareness Program), pembentangan (program pementoran), peperiksaan akhir akademik, perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kad Kuasa SPRM. 

Kebanyakan Kadet Penolong Penguasa SPRM yang menamatkan kursus ini merupakan pemegang Diploma Kejuruteraan, Perakaunan, Akauntansi dan Undang-Undang, di samping ada juga yang memiliki Ijazah Sarjana Muda. 

Majlis perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM Siri 13 Bil. 1 Tahun 2013 (Penolong Penguasa Gred P29) turut menyaksikan penyampaian Anugerah Ketua Pesuruhjaya SPRM, Anugerah Khas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan & Profesionalisme), Anugerah Pengarah MACA, Anugerah Komandan (Kadet Terbaik Latihan Luar (Lelaki) dan Anugerah Komandan (Kadet Terbaik Latihan Luar/Perempuan). 


No comments: