Wednesday, March 19, 2014

KEHILANGAN #MH370 ... Anwar Menguji Kerajaan?



Dunia seolah-olah terhenti seketika akibat kehilangan MH370.   Suasana muram menyelubungi Malaysia dan seluruh dunia.   Biarpun kejadian ini dianggap sebagai bencana, namun, hakikat bahawa pesawat tersebut ‘hilang’ dan bukannya disahkan sebagai mengalami kemalangan, memberikan harapan kepada mereka yang menanti. 

Namun, penantian itu cukup menyiksakan.  Dan penantian yang berpanjangan benar-benar menguji kesabaran bukan sahaja kepada keluarga yang terlibat, tetapi juga kepada semua pihak yang bertanggungjawab mencari dan menyelamat.

26 negara telah tampil membantu Malaysia dengan berbagai cara, sama ada dengan menawarkan aset untuk mencari dan menyelamat mahupun menyumbangkan tenaga dan kepakaran masing-masing.   

Malangnya, tiada satu pun petunjuk yang dapat membawa kita kepada MH370.

Dalam keadaan di mana semua kepakaran dan kecanggihan peralatan masih gagal, kita tiba-tiba dikejutkan dengan kenyataan Anwar Ibrahim yang yakin bahawa beliau adalah individu yang paling layak menangani isu kehilangan MH370.   


Kenyataan Anwar tersebut dilaporkan oleh portal pro-pembangkang iaitu Malaysian Insider di bawah tajuk “Anwar takes a dig at Najib, says he can better handle international media interest in MH370".

Menurut Anwar, Datuk Seri Najib takut untuk berhadapan dengan wartawan asing apabila enggan melayan soalan selepas Sidang Media Sabtu lepas.  Sidang media itu diadakan berikutan bukti baru yang menunjukkan pesawat MH370 telah mengubah haluan secara sengaja dan terkawal.

Kata Anwar, jika beliau yang diwawancara, maka beliau akan menjawab semua soalan wartawan.   Untuk pengetahuan Anwar, kita merasa musykil yang beliau akan menjawab semua soalan wartawan kerana masih terngiang-ngiang lagi di telinga kita semua bagaimana beliau mengugut untuk menyaman wartawan hanya kerana bertanyakan soalan.   
Apakah Anwar belum menonton parodi ‘U Ulang I Saman’ yang cukup popular di youtube tidak lama dahulu?

Sebuah sidang media tanpa membuka ruang untuk soalan adalah biasa dalam situasi di mana hampir tiada apa yang dapat disahkan.  Apatah lagi dalam kes MH370 ini, sidang media diadakan begitu kerap di mana soalan-soalan yang dikemukakan berulang-ulang dan bertindih sedangkan perkembangan baru hampir tiada langsung.  

Dari kenyataan Anwar tersebut, tampak jelas yang beliau amat cemburu dengan perhatian yang diterima oleh Perdana Menteri.  

Mungkin penyakit gila glamour Anwar menjadi tidak terkawal apabila melihat gambar Perdana Menteri terpampang di dalam akhbar dan televisyen seluruh dunia.  Perasaan ingin menjadi Perdana Menteri membuak-buak di dada Anwar apabila melihat wartawan asing berebut-rebut untuk bertanyakan soalan kepada Dato’ Seri Najib.  
 
Anwar juga menegaskan bahawa isu ini telah menyebabkan kepimpinan menjadi tumpuan dan sedang dinilai dari segi pengurusan negara.  Menurut beliau lagi, apa yang berlaku menunjukkan kelemahan kepimpinan yang mengejutkan dunia.   Malah, berkali-kali Anwar menyebut mengenai kelemahan kepimpinan di samping ‘menawarkan’ dirinya sebagai alternatif untuk memimpin.  Secara ringkasnya, Anwar menyifatkan semua yang berlaku ini sebagai ‘ujian’ terhadap kepimpinan.

Nampaknya, dalam kita memikirkan nasib pesawat MH370, Anwar pula sibuk mempromosi diri.

Anwar kemudiannya menambah bahawa wartawan asing kini lebih selesa bertanyakan soalan mengenai kehilangan pesawat itu kepadanya kerana beliau lebih berkebolehan dalam melayan pertanyaan mereka.  

Kenyataan ini sekali gus menimbulkan kemusykilan mengenai misteri kehilangan MH370.

Kita musykil bagaimana Anwar mampu menjawab soalan wartawan dengan lebih baik sedangkan beliau bukan di dalam pasukan yang menerima taklimat mengenai hasil siasatan.

Kita musykil bagaimana beliau yakin yang beliau mampu memberi jawapan yang pihak pencari dan penyiasat sendiri tidak mampu memberikannya kepada Perdana Menteri.  

Kita musykil bagaimana Anwar mengaku boleh memberi lebih dari ‘sekadar kenyataan’ seperti yang dibuat oleh Perdana Menteri.

Anwar seolah-olah menyatakan kegembiraan kerana media kembali mencarinya, walaupun ‘ada usaha’ untuk meminggirkannya melalui kes liwatnya di mahkamah. 

Walaupun Anwar menegaskan yang beliau mampu menjawab semua persoalan, namun Anwar tidak pula menjelaskan kenapa isterinya, Wan Azizah telah menipu kononnya tidak mengenali Kapten Zaharie, iaitu juruterbang yang bertanggungjawab dalam MH370.  Sedangkan Zaharie adalah bapa saudara kepada menantu Anwar dan Wan Azizah.  

Lebih pelik lagi, Anwar merujuk kepada Zaharie seolah-olah beliau tidak lebih dari sekadar seorang penyokong tegar yang sanggup menghadiri rayuan kes liwatnya di mahkamah, seperti penyokong-penyokong lain.

Anwar juga tidak menjelaskan kenapa PKR kelihatan kelam kabut membela Zaharie dan menepis sebarang prasangka terhadap juruterbang itu walaupun tiada siapa pun yang menuduh beliau bertanggungjawab.  Malah, PKR menuduh UMNO sebagai berusaha menyalahkan Zaharie sedangkan persoalan mengenai sifat fanatik Zaharie terhadap Anwar ditimbulkan pertama kalinya oleh akhbar asing. 

Justeru, Laporan Malaysian Insider ini membawa kita kepada tiga persoalan iaitu:

  • Bagaimana Anwar begitu yakin yang beliau mampu menjawab soalan wartawan dengan lebih baik daripada Perdana Menteri yang merupakan individu utama dalam menerima laporan perkembangan misi mencari dan menyelamat MH370? 
  • Kenapa PKR begitu bersungguh-sungguh membela Kapten Zaharie?  
  • Apakah maksud Anwar mengenai ‘ujian terhadap kepimpinan’?   Apakah MH370 ‘sengaja dihilangkan’ untuk ‘menguji’ kepimpinan?

Para wartawan harus mengemukakan tiga soalan ini kepada Anwar dan berdoalah yang anda tidak akan disaman hanya kerana bertanya.

No comments: