Sunday, April 27, 2014

SPAD BERTINDAK ... 3 OPERATOR BAS DIGANTUNG

Kempen SPAD ICOP-SHE

Semenjak Ogos 2013, pihak SPAD telah bertindak menggantung sebanyak 542 permit pengusaha pengangkutan engkar membabitkan bas henti-henti, bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan kenderaan perdagangan kerana terlibat dengan kemalangan dan melanggar syarat pelesenan ditetapkan.

Inilah pertama kali SPAD membuat pendedahan kepada rakyat setelah didesak untuk mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat pengendali dan pemandu kenderaan yang terlibat dengan tragedi kemalangan jalanraya baru-baru ini.

Beberapa tindakan susulan juga telah diambil pihak SPAD seperti berikut;

BAS EKSPRES TRANSNASIONAL

 

Pada 21 April lalu, pihak SPAD telah bertindak menggantung 27 permit bas ekspres Transnasional bagi laluan Timur-Sektor Utara yang berkuatkuasa pada 23 April 2014, lanjutan daripada kemalangan yang melibatkan kehilangan nyawa seramai 3 orang dan 10 cedera parah di Bukit Lebu, Jalan Bentong-Raub, minggu lalu.

Pihak syarikat didapati tidak memantau had kelajuan dan mendapati system GPS tidak berfungsi.

SYARIKAT MERRY HOLIDAYS SDN BHD



Tindakan seterusnya ke atas 7 permit bas milik Sykt Merry Holidays Sdn Bhd yang beroperasi di seluruh Semenanjung Malaysia, telah digantung berkuatkuasa pada 27 April apabila bas tersebut terbabit dalam satu kemalangan di km 70 Jalan Kuantan-Segamat, Pahang pada Ahad lalu yang mengakibatkan kematian seorang pelancong Singapura dan 39 cedera.

Pengendali bas tersebut telah gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan di bawah SPAD-ICOP Keselamatan antaranya tidak memasang sistem pengesan global (GPS) serta tidak melantik pegawai keselamatan.

ETIKA EXPRESS

 

6 permit syarikat kenderaan Etika Express digantung berkuatkuasa mulai 25 April kerana terlibat dalam kemalangan  berhampiran Temerloh yang mencederakan enam penumpang pada 19 April lalu.

Syarikat berkenaan turut gagal memantau kelajuan kenderaan, tidak melantik pegawai keselamatan, gagal memantau kelajuan kenderaan yang terlibat kemalangan serta tidak melakukan pemeriksaan ke atas pemandu sebelum memulakan perjalanan

PATUH SYARAT PERLESENAN

SPAD sentiasa memberi penekanan serius kepada segala aspek pengurusan  keselamatan, pemandu dan penyelenggaraan bas oleh syarikat-syarikat bas ekspres. 

Setiap bas persiaran dan bas ekspres wajib dilengkapi dengan Global Positioning System (GPS) sejak tahun 2010 dan perkara ini telah termaktub dalam syarat perlesenan. Setiap pengendali harus memastikan GPS ini berfungsi dan dipantau sepenuhnya. Selain itu, Pekeliling mengenai Pelaksanaan Kod Amalan Industri SPAD-Keselamatan (ICOP) untuk Pengendali Bas yang dikeluarkan pada 20 Ogos 2013 mempertanggungjawabkan pengendali untuk memastikan segala aspek pengurusan pemandu dan penyelenggaraan kenderaan dilakukan secara betul dan berkala.

Selain itu, Pekeliling SPAD ICOP-Keselamatan juga telah menitikberatkan aspek pematuhan kepada had kelajuan yang mana ianya merupakan salah satu agenda keselamatan yang paling kritikal dan di pantau oleh pengendali setiap masa.

Sebagai usaha penambahbaikan, S.P.A.D. akan mengetatkan lagi prosedur supaya pengendali memberi tumpuan yang lebih serius kepada aspek pengurusan kelajuan dan keselamatan. Antaranya:
  • Pasukan audit S.P.A.D. akan mengaudit pemantauan pematuhan had kelajuan GPS bagi setiap pengendali bas ekspres di Semenanjung Malaysia dalam masa 30 hari. Sekiranya pengendali didapati gagal mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan maka lesen pengendali mereka akan digantung sehingga pengendali patuh kepada proses pemantaun ini.
  • Setiap pengendali perlu melantik Pengawal (controller) untuk memantau hadlaju bagi setiap perjalanan harian (realtime). Pengawal dipertanggungjawabkan untuk bertindak jika pemandu melebihi had kelajuan.
  • Pengendali dikehendaki mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang ingkar mematuhi syarat-syarat keselamatan yang telah ditetapkan. Semua tindakan ini perlu dilaporkan kepada pihak S.P.A.D.
  • Pengendali diwajibkan untuk mengemaskini data maklumat pemandu melalui “SPAD Driver Information System”.
  • Pengendali dikehendaki mengemukakan laporan pemantauan had kelajuan GPS kepada S.P.A.D., dan memberi penjelasan sekiranya terdapat pelanggaran had kelajuan yang telah ditetapkan.
  • Pengendali dikehendaki mempamerkan nombor hotline penyelia didalam dan diluar bas supaya penumpang dan pengguna jalanraya lain boleh membuat aduan terus kepada mereka dan tindakan efektif perlu diambil dengan segera. Pengadu boleh melaporkan kepada S.P.A.D. jika tindakan penyelia kurang memuaskan.
  • S.P.A.D. akan mengadakan kempen kesedaran umum mengenai aspek keselamatan penggunaan Pengangkutan Awam Darat dengan segera. Ini akan dilakukan supaya langkah-langkah penambahbaikan ini boleh menjadi lebih efektif.  

Tindakan tegas dan pantas SPAD terhadap ketiga-tiga syarikat pengendali bas ini adalah satu pengajaran dan amaran kepada yang lain agar aspek keselamatan tidak patut dipandang remeh dan tidak boleh dikompromi. Menjalankan perniagaan pengangkutan awam darat bukan sekadar mengaut keuntungan dan syarikat-syarikat pengendali bas ekspres dan pelancungan seharusnya mengutamakan aspek keselamatan penumpang dan pengguna jalanraya yang lain.

Inilah akibatnya apabila pemilik syarikat pengendali terlalu memikirkan keuntungan dan akhirnya terpaksa menanggung kerugian.

Sebagai rakyat Malaysia, kita juga bertanggungjawab membantu pihak SPAD dalam mencegah kemalangan dari terus berlaku. Kita boleh membuat laporan terus di Hotline SPAD, 1-800-88-7723

No comments: