Friday, July 18, 2014

KEJADIAN PERTAMA KERETAPI TERGELINCIR SELEPAS ARAHAN SPAD

Gambar hiasan

Selepas persetujuan diambil di antara SPAD dan KTMB (baca DI SINI) di atas permohonan KTMB menangguhkan perlaksanaan menjalankan kerja-kerja membaik pulih landasan keretapi Gemas  - Gua Musang, pada 8 Julai lalu perkhidmatan KTM Intercity di Pantai Timur yang melibatkan Tren No. 28 Ekspres Wau dari Kuala Lumpur ke Tumpat, Kelantan telah tergelincir lebih kurang 1.50 pagi yang mengakibatkan gangguan.

KTMB maklumkan kejadian berlaku di Km 80.0 di antara Kemayan-Triang, membabitkan satu daripada lapan gerabak tren yang membawa 200 penumpang dan tiada kecederaan berlaku. Kesemua 79 penumpang terbabit dipindahkan ke koc hadapan. Tren meneruskan perjalanan selepas koc yang tergelincir dipotong. Kerja-kerja baik pulih landasan sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh 24 jam.

Perlu diingatkan semula 7 syarat awal yang telah dipersetujui dan mengaku bertanggungjawab oleh KTMB;
 
  • Memberi jaminan untuk mengambil langkah-langkah keselamatan termasuk meningkatkan peraturan dan pemantauan operasi tren.
  • Meningkatkan penilaian ke atas landasan dengan mengenakan had kelajuan yang lebih rendah jika perlu.
  • Meningkatkan pemantauan dan penyenggaraan infrastruktur landasan.
  • Menyediakan storkereta yang lebih berkualiti.
  • Kerahan tenaga kerja daripada KTMB untuk menangani situasi kritikal.
  • Menubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau semua pelan tindakan.
  • Melaksanakan program komunikasi dengan pihak berkepentingan terutamanya orang ramai dan kakitangan KTMB bagi memastikan penutupan separa ini dapat dilaksanakan dengan lancar.

Kini berlaku kejadian tergelincir pertama. Maka pihak SPAD telah mengeluarkan arahan seperti berikut;


KENYATAAN MEDIA

SPAD ARAHKAN PENUTUPAN SEPARA LANDASAN REL SEKTOR GEMAS-GUA MUSANG DILAKSANAKAN SERTA MERTA
 
KUALA LUMPUR, 11 Julai 2014 – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (S.P.A.D) hari ini telah mengarahkan KTMB agar penutupan landasan secara separa di sektor Gemas – Gua Musang dilaksanakan dengan serta merta selepas insiden kegelinciran tren berhampiran Stesen Kemayan, Pahang pada 8 Julai 2014. 
Tindakan ini akan membolehkan KTMB menjalankan kerja-kerja memeriksa serta menyelenggara landasan secara komprehensif di sektor berkenaan pada waktu siang sebelum membenarkan tren beroperasi semula pada waktu malam.


Sebelum ini, S.P.A.D. telah bersetuju pada 26hb Jun 2014 untuk KTMB menutup secara spara landasan KTM sektor Gemas-Gua Musang mulai 15hb Ogos 2014. Keputusan ini dibuat selepas mempertimbangkan rayuan yang dikemukakan oleh KTMB serta komitmen pengendali rel ini untuk mengambil langkah-langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko kemalangan dan menjamin keselamatan penumpang di sepanjang sektor berkenaan.


Arahan S.P.A.D. ini akan mengurangkan risiko terhadap aspek keselamatan penumpang dan operasi tren.   Susulan daripada arahan ini, KTMB juga dikehendaki untuk melaksanakan dengan segera plan komunikasi menyeluruh serta penjadualan semula perkhidmatan mereka.


Walaupun keputusan ini akan memberi kesan terhadap perjalanan perkhidmatan tren yang disediakan, S.P.A.D. selaku pengawal selia pengangkutan awam darat   sentiasa meletakkan aspek keselamatan penumpang sebagai asas utama dalam membuat apa-apa keputusan.

Inilah yang dikhuatiri SPAD, kejadian kemalangan bakal berlaku yang melibatkan keselamatan penumpang. Seperti yang dijanji pihak KTMB untuk bertanggungjawab ke atas sebarang kemalangan, mereka bertindak pantas namun adalah ... LEBIH BAIK CEGAH SEBELUM PARAH!

No comments: