Tuesday, October 07, 2014

SPAD TIDAK LAGI TENTUKAN TAMBANG BAS SEKOLAH... TETAPI SIAPA?



Selama ini, rupanya tambang bas sekolah tidak mengikut peraturan kadar yang ditetapkan LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan ) semenjak tahun 2009 dan pada masa yang sama pihak sekolah dan ibubapa hanya bersetuju dengan kadar tambang yang mengikut perkiraan pengendali-pengendali bas sekolah sendiri dan ibubapa membayar tambang tersebut.

Pengendali-pengendali bas sekolah ini sendiri yang menaikkan tambang dengan alasan dan mengambilkira pelbagai kenaikan kos.

Jika ini sebenarnya sedang berlaku, untuk apa diadakan peraturan tersebut?

Nampaknya kaedah ini sekadar akademik saja dan tidak pun dipatuhi. Oleh itu SPAD ingin membebaskan kaedah ini dan 'deregulate' dan hanya memainkan peranan memantau dan mengawalselia daripada peranan menetapkan harga tambang. Jika ada komplen, bayaran tambang yang melampau dan terlalu tinggi, SPAD akan menyiasat. Jika tidak, terpulang kepada sekolah dan ibubapa untuk meluluskan bas itu untuk digunakan.

Sekarang terpulang kepada ibubapa dan pengendali-pengendali bas sekolah untuk bersama-sama berunding mengenai tambang yang hendak dipersetujui kedua-dua belah pihak. Semua ini akan berkuatkuasa permulaan sekolah tahun hadapan, Januari 2015.
Contoh dari kes-kes yang diperolehi dari pihak SPAD; Sekolah Aminuddin Baki ke Setiawangsa - jaraknya 15km. Mengikut kadar SPAD, ialah RM57.73. Tambang sebenarnya ialah RM160.00 sebulan. Tambang yang dicaj telah mengatasi tambang mengikut kaedah yang ditentukan oleh LPKP pada tahun 2009.

Kes lain, dari Taman Seri Kembangan dengan jarak 3km dan mengikut kiraan LPKP, sepatutnya RM33.49 tetapi tambang yang dikenakan kepada ibubapa ialah RM45 sebulan. Walaupun berpatutan tetapi tambang ini masih tidak mengikut tambang yang ditentukan LPKP.

Caj yang dikenakan hari ini adalah lebih tinggi dari yang ditetapkan. Jika ikut sistem siling, kilo metre pertama untuk bas sekolah di bandar ialah RM27.43 dan kilometer seterusnya ialah RM2.02. Untuk luar bandar pula, kilo metre pertama ialah RM20.61 dan kilometer seterusnya ialah RM2.02.

Ini tidak bermakna pihak SPAD cuba lepas tangan menangani isu kenaikan tambang, malahan inilah masanya kuasa yang ada ditangan pengguna iaitu pihak ibubapa dan sekolah mengguna sepenuhnya kuasa membayar mereka. Bila pengguna mengguna kuasanya, dan penawaran bas banyak, maka sesiapa yang mengenakan kadar tambang yang melampau, maka pengendali-pengendali melampau ini lambat laun akan kehilangan perniagaan mereka.

Mereka boleh berbincang dan seterusnya memilih mana-mana pengendali bas yang mengenakan tambang yang berpatutan untuk anak-anak mereka.

Sehubungan itu, pihak SPAD pula menggalakkan pengendali-pengendali bas-bas baru dan memohon lesen supaya lebih banyak bas-bas sekolah wujud. SPAD juga memberi jaminan untuk tidak menghadkan jumlah permohonan lesen bas-bas sekolah baru. Permohonan lesen untuk bas-bas sekolah baru ini telah diberi jaminan agar tiada kesusahan untuk memohon  asalkan mereka berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat permohonan SPAD.

Yang paling penting, SPAD akan memastikan perkhidmatan yang terbaik dari pengendali bas agar murid-murid selesa dan keselamatan mereka terjamin. PIBG juga mesti memainkan peranan memastikan keselamatan, keselesaan murid-murid dan SPAD tidak membenarkan kanak-kanak sekolah yang berdiri.

SPAD telah menjalankan latihan keselamatan untuk pengendali bas-bas sekolah. Seramai lebih dari 2,000 pengendali bas sekolah dari 15,000,  telah hadir dan latihan ini adalah bertujuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik untuk kepentingan anak-anak. Pengendali mungkin akan memikirkan untuk mengadakan bas baru dan memberi perkhidmatan yang lebih baik.

Di samping itu, SPAD juga telah membenarkan pengusaha-pengusaha bas ini menambahkan pendapatan. Di antaranya, membenarkan bas yang tidak melebihi usia 12 tahun digunakan sebagai bas pelancungan pada hujung minggu atau ketika cuti sekolah dan menggalakkan iklan di badan-badan bas. Dengan ini, tidak akan timbul lagi permintaan dari persatuan-persatuan bas sekolah untuk menaikkan tambang bas ke 20%.

Berikut adalah kenyataan media dari SPAD;





No comments: