Monday, November 10, 2014

KENAIKAN TAMBANG... KEHENDAK SIAPA?

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah pun menghantar cadangan kenaikan tambang pengangkutan awam dan adalah tugas SPAD membuat cadangan untuk kerajaan memutuskan untuk dipertimbangkannya dan seterusnya membuat keputusan.

Apakah kenaikan tambang ini perlu di kala pelbagai cemuhan dan tuduhan terhadap kerajaan setelah rasionalisasi minyak sebanyak 20 sen berlaku baru-baru ini? Siapa yang bertanggungjawab mendesak kerajaan menaikkan tambang pengangkutan awam? Adakah kehendak pihak SPAD? Pengguna? Kerajaan sendiri? Atau kehendak siapa?

Pengusaha bas ekspres telah meminta kenaikan tambang sebanyak 30% dan kali terakhir telah dibuat perubahan pada tahun 2008. Tambang untuk bas ekspres hari ini ialah 8.5 sen bagi setiap kilometer dan Persatuan (PMBOA) telah mencadangkan kenaikan sebanyak 11.05 sen.

Kali terakhir kerajaan membenarkan kenaikan tambang teksi untuk Lembah Kelang, Johor Bahru, Melaka dan Kuala Terengganu pada Ogos 2008. Tambang yang dikenakan hari ini adalah 10 sen bagi setiap 100 meter dan Persatuan Teksi telah mencadangkan 10 sen bagi setiap 50 meter serta tambang yang dikira setiap minit perlu dikira bagi setiap 30 saat.

Tambang untuk monorail, LRT dan bas-bas bandar di Kuala Lumpur pula mengharapkan peningkatan tambang. Mengikut laporan audit negara, syarikat pengendali ini telah mengalami kerugian sebanyak RM293.82 juta pada 2010 dan tambang LRT dan Monorail tidak pernah dinaikkan semenjak 9 tahun lalu.

Bagi KTMB pula, pihak mereka tidak mencadangkan untuk kenaikan tambang Komuter KTMB dan keretapi 'intercity'.

Ini pula laporan dari GoEuro yang telah mencatatkan pengangkutan awam di Kuala Lumpur di kedudukan ke 4 di dunia sebagai tambang yang berpatutan.

Sumber : GoEuro

Dengan penjelasan di atas, kesemua syarikat pengendali dan persatuan-persatuan pengendali pengangkutan awam darat memohon agar kerajaan membuat semakan semula untuk menaikkan tambang dan pihak SPAD diberi tugas untuk mengkaji kenaikan tambang dan beri cadangan kepada kerajaan.

Bagi pihak SPAD, semakan kenaikan tambang ini akan mengambil kira dua perkara iaitu kemampuan rakyat dan kemampanan industri. Di dalam kajian SPAD akan mengambilkira seandainya tambang terlalu tinggi akan menyebabkan pengguna tidak akan mengguna perkhidmatan pengangkutan awam dan seterusnya sekiranya tambang terlalu rendah, industri pengangkutan tidak akan mampu bertahan dan mereka akan terus bergantung kepada kerajaan.

Walaubagaimanapun, pihak SPAD tetap akan memberi cadangan kenaikan tambang rel kerana ia tidak pernah dinaikkan sepanjang lebih kurang 10 tahun dan jika dibandingkan dengan negara-negara lain yang mempunyai industri perkhidmatan rel yang sama, Malaysia adalah antara negara yang mengenakan harga tiket yang terendah.

Bukan sesuatu yang mudah untuk kerajaan menetapkan kenaikan kadar tambang yang sesuai. Di sebelah kiri, kerajaan ingin mempastikan industri pengangkutan awam mampu kekal bersaing dan mampan sementara di sebelah kanan pula kerajaan tidak ingin membebankan rakyat. Dan yang paling tidak ingin kita dengar ialah hasutan dari parti-parti politik pembangkang yang kononnya simpati dengan nasib rakyat.

Kita perlu juga tanya kepada pihak pembangkang, bukankah syarikat-syarikat pengendali pengangkutan awam ini juga adalah sebahagian daripada rakyat? Kita akan lihat mereka mengapi-apikan rakyat marhaen dan pada masa yang sama mereka juga akan mendesak kerajaan membela syarikat-syarikat pengendali ini.

Apa yang penting kepada kita, seandainya kenaikan tambang ini tidak mampu dielakkan, diharap perkhidmatan pengangkutan awam dapat ditingkatkan terutama dalam aspek keselamatan, kebersihan dan ketepatan waktu.

No comments: