Tuesday, November 11, 2014

SPRM RESPON ISU RASUAH DI CAMERON HIGHLANDS TETAPI WAKIL PEMBANGKANG DALAM SPRM MEMBISU


Malaysia Insider dalam laporannya bertajuk "Rasuah sebabkan hutan dimusnahkan di Cameron Highlands, lapor akhbar" memetik ia dari sumber Mingguan Malaysia dan ia adalah akhbar UMNO.

Iye, akhbar UMNO mendedahkan berlakunya rasuah dan beranikah Malaysia Insider dedahkan perlakuan rasuah dan salahguna kuasa di negeri-negeri Pakatan? Tentu tidak!

Kembali kepada tragedi di Cameron Highlands baru-baru ini, rasuah disabitkan sehingga dua pekerja Indonesia maut dalam banjir lumpur Rabu lalu di ladang sayur Sungai Kabok di Lembah Bertam.

Pegawai yang menerima rasuah membenarkan penebangan pokok secara haram walaupun ia sedang berlaku di kawasan berisiko tinggi di mana tanah runtuh berlaku. Jika benar berlaku apa tindakan SPRM?

Dua aspek yang disentuh SPRM iaitu;

1. Penerokaan tanah haram
2. Kontraktor kilat warga asing
dua pekerja Indonesia dalam banjir lumpur Rabu lalu di ladang sayur Sungai Kabok di Lembah Bertam. - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rasuah-sebabkan-hutan-dimusnahkan-di-cameron-highlands-lapor-akhbar#sthash.njIi3kaE.dpuf
Rasuah sebabkan hutan dimusnahkan di Cameron Highlands, lapor akhbar - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rasuah-sebabkan-hutan-dimusnahkan-di-cameron-highlands-lapor-akhbar#sthash.njIi3kaE.dpuf
Rasuah sebabkan hutan dimusnahkan di Cameron Highlands, lapor akhbar - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/rasuah-sebabkan-hutan-dimusnahkan-di-cameron-highlands-lapor-akhbar#sthash.njIi3kaE.dpuf

Berikut adalah kenyataan media SPRM;

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandang serius masalah di Cameron Highlands yang mendapat perhatian keseluruhan rakyat Malaysia sehingga ia disifatkan sebagai 'tragedi negara'.
 
Malahan banyak pihak yang mengatakan rasuah merupakan antara punca utama tindakan tidak diambil oleh pihak berwajib dan agensi penguat kuasa undang-undang, sehingga berlakunya peristiwa banjir lumpur yang mengorbankan nyawa manusia.
 
SPRM ada menerima laporan dan maklumat berkaitan dakwaan wujudnya jenayah rasuah di sebalik isu penerokaan haram di Cameron Highlands. Tindakan tegas penyiasatan telah dijalankan dan akan terus dijalankan. Maklumat terbaru diterima pada 5 November lalu berkaitan kebanjiran pekerja asing. Ada kes yang telah dibawa ke mahkamah, di mana pada tahun 2013, SPRM telah mendakwa seorang peneroka haram yang cuba memberi sogokan RM20,000 kepada  pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Cameron Highlands. Sebahagian maklumat dan aduan yang diterima tidak cukup bukti dan SPRM menghadapi kesukaran untuk menjalankan siasatan mendalam.
 
Pada masa yang sama, SPRM menerusi Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan juga telah menjalankan pemeriksaan selaras dengan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung kegiatan penerokaan tanah kerajaan secara haram oleh pekebun sayur di Cameron Highlands. Ini termasuk susulan laporan media pada pertengahan tahun 2013.
 
Hasil pemeriksaan yang dijalankan telah mengenal pasti sejumlah ISU yang serius yang memerlukan tindakan bersepadu segera semua pihak, iaitu:
 
i. Isu penerokaan tanah kerajaaan secara haram dan lebih usaha tanah Lesen Pendudukan Sementara (LPS) telah menjadi semakin serius dan ia tidak tertumpu di satu kawasan sahaja. Malah, ia meliputi seluruh subdaerah Cameron Highlands. Kesalahan-kesalahan pelanggaran syarat lesen  yang terlalu lama dibiarkan tanpa diambil tindakan mengakibatkan ia sukar ditangani pada masa sekarang. Keadaan ini memerlukan tindakan yang tegas dan bersepadu oleh semua pihak berkaitan bagi menyekat kemusnahan alam sekitar dan kehilangan hasil Kerajaan Negeri Pahang.
 
ii. Dasar kerajaan negeri  di bawah Rancangan Tempatan Cameron Highlands mengiktiraf Cameron Highlands sebagai special management area (Akta Pemuliharaan Tanah 1960), yang membenarkan aktiviti pertanian, agro dan ekotourism,  tetapi tidak membataskan had keluasan tertentu untuk aktiviti dan kaedah pertanian.
 
iii. Wujud kontraktor ‘kilat’ yang terdiri daripada warga tempatan dan pendatang asing beroperasi pada hujung minggu dan cuti umum bagi mengelakkan kerja-kerja teroka haram dikesan pihak berkuasa.
 
iv. Keperluan diwujudkan bidang kuasa yang berasingan iaitu Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, yang kini kedua-duanya dipimpin oleh Pegawai Daerah. Keupayaan Pegawai Daerah mentadbir Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands terbatas kerana bidang tugas yang luas dan wujud konflik skop pentadbiran.
 
v. Tiada pewartaan yang jelas dan menyeluruh ke atas kawasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Cameron Highlands, menyebabkan pekebun sayur dan masyarakat Orang Asli menjadi peneroka haram mengusahakan tanaman di kawasan HSK. Alasan yang sering dikemukakan adalah tidak tahu sempadan.
 
vi. Tiada penandaan kekal sempadan LPS. Kewajipan memasang papan tanda yang memaparkan butiran LPS tidak dikuatkuasakan menjadi punca peneroka haram mengusahakan tanah tanpa had dan pemilik LPS mengusahakan tanah lebih luas dari yang dilesenkan.
 
vii. Kurang koordinasi tindakan antara agensi terlibat menyebabkan tindakan penguatkuasaan tidak dapat dibuat secara profesional, di mana keterangan dan bukti sukar diperoleh bagi tujuan pendakwaan. Akibatnya, peneroka haram terlepas dari tindakan undang-undang dan akan terus melakukan kesalahan. Hal ini juga menyebabkan moral penguat kuasa menurun.
 
viii. Pekebun sayur berselindung di sebalik keistimewaan Orang Asli sebagai pribumi yang menjadikan HSK sebagai kawasan rayau, mengutip hasil hutan dan bercucuk tanam dengan membuka kebun-kebun baru di dalam kawasan HSK.
 
ix. Dakwaan dan tohmahan penggunaan nama ahli politik dan ahli keluarga diraja oleh pihak tertentu bagi membolehkan mereka menjalankan kegiatan yang menyalahi undang-undang ini.
 
x. Tiada saluran aduan sistematik bagi membolehkan orang awam membuat aduan ke atas salah laku dan kegiatan menyalahi undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
 
Berdasarkan dapatan dan penemuan yang disenaraikan di atas, SPRM telah membentangkan isu dan syor pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara Negeri Pahang yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob pada Ogos 2014. Malah, satu pembentangan juga telah dibuat kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Sri Muhammad Safian Ismail pada Julai 2014.
 
SPRM menyambut baik jaminan yang telah diberikan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar Pahang untuk membawa isu dan syor ini ke perhatian Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang, dan seterusnya mengambil tindakan-tindakan punitif dan pencegahan yang sewajarnya. Antara syor yang telah diambil kira dan sedang dilaksanakan ialah kewujudan dua bidang kuasa yang berasingan iaitu Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands.
 
Berikut adalah sebahagian SYOR yang dikemukakan oleh SPRM:
 
i. Mengkaji semula dasar pemberian LPS bagi tujuan menyekat penerokaan tanah kerajaan secara haram, mengelakkan pembinaan bangunan kekal di atas tanah LPS serta menguatkuasakan Akta Pemuliharaan Tanah 1960 /Enakmen Pahang No. 13 (denda dan penalti lebih berat).
 
ii. Menentukan dasar yang jelas berhubung pembangunan tanah tinggi Cameron Highlands. Penetapan dasar ini perlu bagi memudahkan hala tuju penguatkuasaan dan pentadbiran tanah Cameron Highlands.
 
iii. Mewujudkan dasar kawalan kemasukan dan pengesanan pekerja asing khusus di Cameron Highlands supaya pembukaan kawasan pertanian secara haram dapat dibendung.
 
iv. Keperluan kepada dua bidang kuasa berasingan antara Majlis Daerah Cameron Highlands dan Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands bagi mengelakkan pertindihan bidang kuasa (grey areas) yang boleh menyebabkan pihak-pihak tertentu mengambil kesempatan dan beban tugas tidak dapat diurus secara berkesan kerana wujud percanggahan kepentingan atau tanggungjawab.
 
v. Mewarta dan menanda/menanda halus sempadan HSK dengan jelas. Penandaan semula amat perlu bagi tujuan  penyelenggaraan persempadanan HSK yang kritikal. Zon bercucuk tanam diwujudkan kepada masyarakat Orang Asli dan menghadkan kawasan tanaman pindah.
 
vi. Menanda/menanda halus sempadan Rancangan Penempatan Semula (RPS) dengan jelas. Mengehadkan kawasan tanaman pindah kepada masyarakat Orang Asli dalam kawasan RPS sahaja atau mewujudkan zon bercucuk tanam khusus kepada mereka.
 
vii. Mewujudkan Task Force  bagi tujuan penguatkuasaan berkesan. Memberi kebebasan kepada pasukan Task Force untuk mengambil tindakan dengan adil tanpa tekanan atau pengaruh mana-mana pihak.
 
viii. Mensyaratkan penandaan sempadan secara kekal dan pemasangan papan tanda tanah LPS bagi memudahkan penguatkuasaan dan meningkatkan ketelusan.
 
ix. Menilai semula sistem dan prosedur penguatkuasaan bagi meningkatkan keberkesanan operasi dan memperkemaskan pelaksanaan penguatkuasaan Seksyen 425 dan 426 Kanun Tanah Negara serta mengenakan  syarat-syarat baru LPS jika perlu.
 
x. Melaksanakan tindakan pentadbiran yang bersesuaian bagi melicinkan pengurusan dan penguatkuasaan penerokaan haram seperti mengehadkan penggunaan jentera berat berantai, memantau kebanjiran pekerja asing ke Cameron Highlands dan meningkatkan operasi penguatkuasaan pada hujung minggu dan cuti umum.   
 
xii. Mewujudkan Sistem Pengesahan bagi menghindari dakwaan yang melibatkan anggota kerabat, ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dengan mana-mana pihak yang mendakwa mempunyai hubungan dalam apa-apa urusan bagi menjaga nama baik pihak berkenaan.
 
xiii. Mewujudkan sistem aduan yang berfungsi sebagai satu mekanisme kepada mana-mana pihak menyalurkan aduan, laporan dan maklumat berhubung kegiatan menyalahi undang-undang, peraturan dan salah laku. Tindakan ke atas sesuatu aduan perlu dilakukan dengan cepat dan tegas.
 
Tindakan proaktif SPRM ini adalah supaya satu usaha bersepadu akan diambil oleh semua pihak bagi menutup ruang dan peluang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta kelemahan pentadbiran dalam mengendalikan isu penguatkuasaan dan pentadbiran tanah di Cameron Highlands.
 
SPRM juga telah membentangkan tindakan dan hasil penemuan awal ini kepada Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), yang merupakan salah satu daripada lima badan bebas yang memantau perjalanan SPRM. PPPR, yang dipengerusikan oleh Y.Bhg Tan Sri Johan Jaaffar, telah mengambil maklum mengenai tindakan SPRM dan mengalu-alukan supaya semua cadangan yang diperakukan diambil tindakan segera supaya langkah-langkah pencegahan yang holistik dapat dilaksanakan.
 
Selain itu, SPRM juga akan membawa syor dan cadangan ini ke Mesyuarat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus Kebangsaan pada 25 November 2014 memandangkan isu ini juga diyakini berlaku di tempat-tempat lain dan seterusnya bagi mengelakkan masalah yang sama berlaku hingga boleh mengakibatkan pelbagai bencana alam dan persekitaran, masalah sosial dan ekonomi. Pendekatan serius termasuk pindaan peruntukan undang-undang amat wajar bagi menangani  isu penerokaan haram. 

Pembalak dan peneroka haram harus dikenakan hukuman yang amat berat bagi mengelakkan masalah yang melanda Cameron Highlands daripada berulang.
 
DATUK MUSTAFAR ALI
TIMBALAN KETUA PESURUHJAYA (PENCEGAHAN)
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA
9 NOVEMBER 2014

mantra : Kenapa wakil Pembangkang di dalam jawatankuasa khas SPRM tidak berbunyi?

No comments: