Monday, December 22, 2014

APAKAH PERS1M MEMBELA NILA SETITIK UNTUK ROSAKKAN SUSU SEBELANGA?

2 isu yang didakwa PERS1M agar SPAD disiasat SPRM.
  • 4 pemandu teksi yang telah disabitkan oleh Mahkamah atas kesalahan tidak mempunyai Kad Pemandu.
  • Acara "Charity Drive With The Stars" anjuran UBER dan Volkwagen.

Dakwaan PERTAMA PERS1M;

SPAD dikatakan zalim terhadap pemandu teksi kerana 4 pemandu teksi dikenakan hukuman yang sangat berat sehingga ada yang tidur dalam Penjara Sungai Buluh hanya kerana ketiadaan Kad Pemandu, malah ada juga yang terpaksa membayar denda sehingga RM8000 kerana tidak mahu masuk penjara di atas kesalahan Kad Pemandu tamat tempoh.

PERS1M juga mendakwa menerima beberapa kes penindasan syarikat terhadap pemandu teksi dan telah merujuk perkara tersebut kepada SPAD, namun mereka hanya bersikap mendiam diri dan melepas tangan.

Di dalam siaran media SPAD untuk memberi pencerahan, ini adalah jawapan SPAD;


Isu 4 pemandu teksi yang telah disabitkan hukuman penjara dan denda, pemandu-pemandu teksi ini telah diberi peringatan dan amaran yang sewajarnya tetapi mereka ENGGAN membayar kompaun yang pada asalnya dengan jumlah yang PALING MINIMA iaitu RM500. Mereka juga diberi tempoh purata di antara 454 hingga 653 hari untuk menjelaskan kompaun.

Setelah tempoh membayar kompaun tamat, kes-kes tersebut telah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya dan mereka telah didakwa di Mahkamah.

Dua (2) daripada pemandu teksi tersebut telah dikenakan denda dan penjara selama sehari.

Dua (2) lagi pemandu diarah membayar denda atau masing-masing dikenakan hukuman penjara selama 2 dan 3 bulan tetapi mereka memilih untuk membayar denda yang dikenakan di bawah bidangkuasa Mahkamah.

Kepada PERS1M, SPAD ingin menjelaskan bahawa sungguhpun Kad Pemandu itu satu dokumen pengenalan yang ringkas, implikasinya besar terhadap keselamatan penumpang. Ini ternyata dengan kaitan kes-kes jenayah yang melibatkan teksi, dimana pemandu teksi tidak dapat dikenalpasti kerana ketiadaan Kad Pemandu ketika penumpang menaiki kenderaan.

Dakwaan KEDUA PERS1M;

Pihak SPAD tidak mensyaratkan pemandu yang memandu kenderaan UBER perlu memiliki Kad Pemandu seperti yang termaktub didalam Perkeliling Bil.4 2013.di dalam acara "Charity Drive With The Stars" anjuran UBER dan Volkwagen yang menampilkan hampir 52 Selebriti.

Jawapan SPAD :


Berkaitan dengan isu Uber yang dibangkitkan pula, S.P.A.D. dan JPJ membuat tindakan berterusan di bawah kesalahan perkhidmatan tanpa permit dibawah Seksyen 23 dan 64 Akta Pengangkutan Jalan, 1987 dan Seksyen 16, 36, 41 dan 80 dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010.

Pada September 2014, S.P.A.D. telah mengenalpasti lapan (8) syarikat yang menggunakan aplikasi Uber dengan pembabitan sejumlah 50 buah kenderaan, di mana 20 buah daripadanya tidak mempunyai permit yang sesuai. Disebabkan Uber adalah aplikasi baru di Malaysia, S.P.A.D. merasakan perlu dibuat penerangan kepada syarikat terbabit mengenai keperluan undang-undang dan syarat-syarat pengendali. Suruhanjaya telah memberikan peringatan agar pemandu berlesen PSV, insurans dan kenderaan berdaftar yang sesuai sahaja boleh digunakan oleh Uber.

Pada Oktober 2014, S.P.A.D. telah meneruskan operasi terhadap kenderaan Uber. Sehingga kini 13 kesalahan membabitkan Uber telah disiasat dan diambil tindakan dibawah Akta Pengangkutan Awam Darat, 2010. Ini melibatkan 6 kes gagal kemukakan Lesen Pengendali, 6 kes beroperasi tidak mengikut kelas lesen dan satu perkhidmatan tanpa permit. Di dalam siasatan terdapat beberapa lagi kenderaan yang dikesan beroperasi tanpa permit. Operasi juga tidak terhad di kawasan Bandaraya Kuala Lumpur dan Lembah Kelang sahaja.

Di sini Suruhanjaya ingin menegaskan bahawa sungguhpun aplikasi Uber itu tidak menyalahi undang-undang secara kasarnya, penggunaan kenderaan berlesen yang sesuai diperlukan dan syarat-syarat pengendali perlu dipatuhi.

Dengan jawapan S.P.A.D. yang jelas ke atas dakwaan PERS1M, mantra tidak pasti samada PERS1M benar-benar berfungsi untuk mentransformasi ahli-ahlinya yang terdiri daripada pemandu-pemandu teksi ke arah yang lebih baik ataupun sebaliknya?

Jelas sekali apabila PERS1M membela 4 pemandu teksi yang telah dikenakan hukuman denda dan penjara itu ibarat sedang membela nila setitik sehingga susu sebelanga mampu dirosakkan. Adalah tidak wajar menganggap pihak SPAD telah bertindak zalim kerana keempat-empat pemandu teksi itu telah diberi masa danpeluang secukupnya. Oleh kerana keengganan dan kedegilan mereka mematuhi undang-undang, mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman. Apakah di dalam perkara ini SPAD yang zalim atau pemandu-pemandu tersebut yang sengaja menzalimi diri mereka sendiri?

Blog ini telah pun menulis agar Uber mengutamakan undang-undang walaupun menganjur program amal ... DI SINI. Dengan ini, sekali lagi pihak SPAD tidak pernah berlaku sebarang kompromi dengan pihak Uber walaupun di dalam penganjuran program mereka.

Jika dakwa PERS1M bahawa SPAD tidak menjaga kepentingan pemandu-pemandu teksi hanya kerana membenarkan kewujudan Uber yang mampu memberipersaingan sengit kepada mereka, anggapan ini sangatlah SALAH dan pendapat yang sangat SEMPIT!

PERS1M seharusnya menganggap ia satu persaingan yang sihat dan memikirkan untuk meningkatkan lagi mutu perkhidmatan teksi di Malaysia. Namun tertanya-tanya juga, apakah yang telah PERS1M lakukan untuk perbaiki mutu perkhidmatan mereka apabila mendapat label perkhidmatan teksi yang terburuk di dunia?

Dengan penjelasan SPAD untuk mengutamakan keselamatan penumpang, apa pula langkah PERS1M bagi mengatasi masalah ini?

Janganlah sekadar tahu meminta itu dan ini dari kerajaan serta menuduh itu dan ini tetapi tidak pula menunjukkan sokongan apabila kerajaan berusaha menambahbaik mutu perkhidmatan dan tegas dengan undang-undang. PERS1M juga perlu adil kepada lebih ramai pemandu-pemandu teksi yang mematuhi undang-undang dan ikhlas mencari rezeki tanpa perlu menghasut dan mengadu domba.

Sekiranya SPAD perlu disiasat SPRM, mantra rasa Suruhanjaya ini tiada masalah kerana sepanjang pengetahuan mantra, SPAD adalah satu-satunya agensi kerajaan yang sangat responsive kepada sebarang isu dan dakwaan. Penguatkuasa SPAD pula terdiri daripada pegawai-pegawainya yang tegas dan sebarang bentuk rasuah tiada di dalam diari mereka.

No comments: