Wednesday, January 28, 2015

HENTI PELABURAN LUAR NEGARA DAN TUMPU PERNIAGAAN TEMPATAN, LANGKAH PENYESUAIAN FELDA


Kejatuhan harga minyak dunia serta tempias yang dialami ringgit Malaysia, menyebabkan kerajaan mengambil langkah untuk mengukuhkannya semula. Ini tidak terkecuali bagi Felda sebagai salah sebuah konglomerat kerajaan membantu langkah-langkah ini.

Langkah serta-merta adalah menghentikan pelaburan baru di luar negara dan memberi tumpuan kepada pelaburan tempatan. Rasional yang telah diberi Tan Sri Isa selaku Pengerusi Felda, di dalam usaha kerajaan untuk mengukuhkan ringgit ketika ini, pelaburan ke luar negara hanya akan akan meningkatkan aliran keluar jumlah mata wang negara di luar negara.

Langkah penyesuaian ini juga melibatkan fokus Felda kepada produk-produk keluarannya dan juga memberi tumpuan kepada pelancongan tempatan. Sekali gus mampu meningkat pendapatan negara dan juga Felda.

Sesuatu yang menarik apabila Tan Sri Pengerusi menyambut baik untuk lebih agresif mempromosi 'Beli Barangan Malaysia' di dalam negara.

Jabatan Pembangunan Usahawan adalah salah satu jabatan diwujudkan Felda yang bertanggungjawab melahirkan usahawan baru selain membangunkan usahawan yang berdaya maju di kalangan warga peneroka dan generasi baharu FELDA.

Pelaksanaan tindakan ini adalah menyokong strategi dan teras FELDA yang kedua iaitu “warga peneroka menjadi golongan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.”. Aktiviti keusahawanan yang dilaksanakan merupakan aktiviti non farm bagi menambah pendapatan warga peneroka selain daripada hasil utama daripada sawit dan getah.

Produk keluaran pengusaha dipasarkan melalui Outlet SAWARI serta Hypermarket seperti Jaya Jusco, AEON Big, Maidin dll. Usaha meningkatkan mutu dan kualiti produk dari segi pembungkusan juga terus dibuat dengan kerjasama SIRIM dan SME Corp melibatkan 20 pengusaha di bawah program SAWARI. 

Pada pertengahan tahun lepas pula, Datuk Seri Najib Tun Razak telah memaklumkan rangkaian pasar raya besar, LuLu Group di Abu Dhabi akan mengimport pelbagai barangan keperluan daripada Felda di bawah jenama 'Felda Best' bernilai RM110.6 juta untuk dipasarkan ke 105 rangkaian perniagaannya di Asia Barat.

Di samping itu, Lulu Group juga akan membuka pasaraya di Malaysia dan Felda akan menjadi penganjur kepada kira-kira 25,000 usahawan yang terdiri daripada peneroka Felda. Pihak Felda akan membantu usahawan terlibat memasarkan pelbagai produk mereka untuk dipasarkan di pasar raya besar berkenaan.

“Produk keluaran Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV) pula menerusi syarikat sekutunya, Delima Oil Products Sdn. Bhd. (Delima Oil) dengan jenama Saji seperti Saji Krimer Manis Teh Tarik dan Saji Krimer Sejat Teh-C telah mengeluarkan lebih daripada 50 produk tempatan, telah pun menembusi beberapa pasaran luar seperti Filipina dan Maldives.

Itulah sebahagian produk-produk Felda yang pastinya 'Buatan Malaysia' yang dikatakan Tan Sri Pengerusi perlu dibuat promosi dengan lebih agresif di samping merealisasikan hasrat kumpulan untuk muncul sebagai kumpulan perniagaan tani bersepadu terbesar dunia menjelang 2020.

No comments: