Friday, January 23, 2015

LIOW TIONG LAI : KEWANGAN NEGARA DIPERKUKUH DAN RAKYAT SEBAGAI KEUTAMAAN


Apabila kerajaan mengkaji semula Bajet 2015 ia mencerminkan pandangan jauh Perdana Menteri dalam menimbang perubahan ekonomi global yang dihadapi dan bagaimana ia boleh dan akan memberi kesan kepada Malaysia. Itulah pandangan yang diberi Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Sebagai mewakili parti politik terbesar kaum Cina di dalam Barisan Nasional, DS Liow telah memuji tindakan yang diumumkan Perdana Menteri dan menganggapnya sebagai langkah pembukaan dalam berhadapan dengan perubahan ekonomi global agar dapat membantu dan memastikan daya tahan kewangan negara.

Bagi DS Liow walaupun kerajaan mengambil keputusan untuk mengurangkan perbelanjaan pengurusan negara sebanyak RM5.5 bilion, namun perbelanjaan ke atas pembangunan seperti infrastruktur pengangkutan awam dikekalkan. Perbelanjaan pembangunan yang dikekalkan pada RM48.5 bilion ini telah mencerminkan keupayaan kerajaan menguruskan perbelanjaan di samping menitikberatkan produktiviti bagi memastikan pertumbuhan ekonomi masa depan.

Beliau juga memuji keputusan Najib untuk menangguhkan tarif elektrik dan kenaikan harga gas yang dijadualkan.

Satu lagi usaha proaktif yang diambil ialah pemansuhan yuran visa untuk pelawat ke negara terutama dari China. Langkah yang tepat pada masa ini adalah kerana hubungan erat dengan negara China dari segi pelancongan dan juga perdagangan.

Ketika rakyat sedang bergelut menempuh ujian banjir yang luarbiasa di Pantai Timur terutama di Kelantan, DS Liow bersyukur apabila DS Najib telah memperuntukkan bantuan fiskal untuk membantu pembinaan semula di negeri-negeri yang terlibat. Sebanyak RM800 juta diperuntukkan untuk pembaikan dan pembinaan semula infrastruktur termasuk sekolah, hospital, jalan raya dan jambatan dan RM893 juta lagi untuk projek-projek tebatan banjir.

Di dalam meneruskan usaha menuju ke arah mencapai status negara maju sepenuhnya, DS Liow yakin bahawa langkah-langkah awal yang dibentangkan DS Najib mampu memperkukuhkan daya tahan kewangan negara dan mengalakkan ekonomi domestik yang kukuh di samping memastikan kebajikan rakyat kekal sebagai keutamaan.

No comments: