Friday, April 17, 2015

FELDA TIDAK ADA MASALAH DENGAN KEPIMPINAN NAJIB



Kepimpinan DS Najib akan sentiasa cuba diragui dan dipertikai. Itulah cabaran yang perlu dihadapi beliau di dalam membawa rakyat ke negara maju ketika menuju ke wawasan 2020.

Kini kepimpinannya bukan sahaja dikritik oleh pihak pembangkang tetapi baru-baru ini serangan kritik datangnya dari orang yang pernah meyokong beliau dilantik sebagai Perdana Menteri. Tun Mahathir telah dengan terang menyatakan hilang sokongan terhadap beliau dan inginkan Najib melepaskan jawatannya.

Apa jua pendirian Tun Mahathir dan kritikannya, kepimpinan Felda di 11 wilayah tanah rancangan di seluruh negara tidak melihat sebarang masalah dalam kepimpinan Datuk Najib malahan mereka berpuas hati dengan segala pembaharuan dan terutama sekali transformasi Felda.

Sokongan padu mereka telah dizahirkan baru-baru ini dengan diketuai Pengerusinya bersama-sama Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM), Gerakan Persatuan Wanita (GPW) Felda dan Gabungan Pemikir Profesional Felda (Gaprof) manakala Datuk Dr. Shamsul Anwar Sulaiman mewakili generasi baharu Felda.

Satu memorandum tanda sokongan masyarakat Felda kepada kepimpinan DS Najib telah diserahkan kepada TS Isa Samad oleh Datuk Dr. Shamsul.

Jasa Perdana Menteri terhadap masyarakat Felda sejak beliau dilantik pada 2004, telah membawa Felda ke tahap yang lebih tinggi dan inilah yang memberi keyakinan agar Felda akan terus membangun di bawah beliau.

Di dalam mentadbir dan menguruskan negara pasti timbul beberapa masalah dan kesukaran, namun warga Felda yaking DS Najib mampu menyelesaikannya dengan baik. Begitu juga Felda, di dalam bersaing dengan pasaran dunia, Felda tidak sunyi berhadapan cabaran dan kritikan tetapi kesemuanya mampu dihadapi.

Ketika banjir besar melanda negara pada akhir tahun lepas, ladang-ladang peneroka juga turut terjejas teruk tetapi Felda telah berjaya mengatasinya dan perniagaan anak-anak syarikat Felda masih mampu melakar kejayaan demi kejayaan samada di dalam negara mahupun di luar negara.

Pihak kepimpinan Felda juga akan memainkan peranan untuk menjelaskan segala isu yang timbul kepada masyarakat Felda seperti GST, 1MDB dan kes Altantuya Shaariibuu, seperti yang telah ditimbulkan Tun Mahathir. Masyarakat Felda pasti akan faham dan akan terus menyatakan taat setia serta sokongan berterusan terhadap kepemimpinan Perdana Menteri yang telah menguruskan negara di dalam landasan yang betul.

No comments: