Thursday, May 28, 2015

FGV PERHEBAT INDUSTRI BIOGAS


Di dalam suasana industri komoditi sawit berdepan kesukaranan yang disebabkan harga minyak sawit mentah dunia mengalami kejatuhan beterusan tanpa menampakkan tanda-tanda pemulihan, Felda Global Ventures Plantations terus mengorak langkah dengan pelan pemulihan jangka panjang memberi tumpuan kepada industri biogas.

Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FGV), merupakan pengeluar minyak sawit mentah (MSM) terbesar dunia dan syarikat paling terkesan dengan situasi semasa industri telah mencatatkan penurunan keuntungan hampir 96 peratus pada akhir tahun lepas. 75 peratus perolehan FGV disumbangkan dari
perladangan.

Walaupun FGV masih dalam proses pemulihan akibat bencana banjir terbesar akhir tahun lalu dan dalam masa yang sama kejatuhan harga MSM, ini telah mengecilkan margin operasi mereka.

Oleh yang demikian, pengumuman Felda Global Ventures Plantations (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini untuk membina 51 loji biogas baru yang menjadikan keseluruhannya 71 adalah sebahagian daripada pelan pemulihan yang mampu mengatasi kedudukan kewangannya.

Mengikut pengalaman Datuk Jamlus Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif FPISB, Datuk Jamlus Aziz, setiap loji terutama yang mengeluarkan gas methane mampu menghasilkan pendapatan di antara satu hingga dua juta ringgit setahun dan ia juga bergantung kepada kemampuan loji.

FGV akan membina 51 loji baru berperingkat-peringkat dalam tempuh 10 tahun di mana setiap pembinaan loji akan memakan masa selama setahun. Sebanyak 14 loji daripada 20 kepunyaan FGV, telah dibina dengan kerjasama beberapa syarikat swasta dengan anggaran sebanyak RM15 juta bagi setiap satu loji.

Pada tahun ini, FGV mensasarkan untuk membina 5 loji baru dan memberi peluang bekerjasama kepada mana-mana pihak yang berminat. Pihak FGV akan menyediakan tapak dan bahan mentah bagi setiap loji, namun sekiranya tiada respon, mereka akan meneruskan pembinaan kerana yakin prospek industri biogas adalah lumayan.

Tahun lepas sahaja, FGV telah mampu memperoleh pendapatan sebanyak RM55 juta dari jualan biogas dan biomass serta termasuk tandan tandan dan serat sawit.

Negara jiran seperti Indonesia dan Thailand telah pun mengambi pendekatan mengembangkan industri biodiesel bagi mengatasi impak kejatuhan harga sawit pada awal tahun ini, maka langkah FGV ini mampu juga dilihat untuk meningkatkan permintaan dan seterusnya mengurangkan lambakan stok di pasaran. 

Sekali gus, kemampuan industri biodiesel FGV ini mampu memberi manfaat kepada lebih 100,000 peneroka dan seterusnya mampu memantapkan semula kewangan syarikat.

No comments: