Friday, May 22, 2015

LIOW : FASA PELAKSANAAN DALAM RMK11 UNTUK SEKTOR PENERBANGAN NEGARA



Industri penerbangan bukan sahaja mampu menyumbang kepada hasil negara malahan ia adalah merupakan kebanggaan negara kita selepas kemerdekaan. Namun, selepas tragedi MH370 dan MH11, industri penerbangan dilihat sebagai penting untuk ditingkatkan agar mampu menghadapi cabaran di masa akan datang.

Di dalam pengumuman Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah mengumumkan penubuhan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia yang di antara lain merangkumi lesen penerbangan, bayaran lapangan terbang, peruntukan laluan udara, penyelesaian pertikaian dan perlindungan hak pengguna.

Suruhanjaya ini  sebagai langkah kerajaan meningkatkan lagi sektor penerbangan negara dan diberi tanggungjawab di bawah seliaan Kementerian Pengangkutan dan badan bebas ini akan diperbadankan pada Julai 2015 nanti.

Disamping itu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai yakin Suruhanjaya Penerbangan Malaysia akan mampu menguruskan keupayaan dan persaingan dalam industri penerbangan negara serta industri penerbangan akan menjadi lebih berstruktur dan sistematik.

Negara sedang meletakkan laluan pilihan utama logistik ke Asia dan meningkatkan kedudukan sebagai antara 10 tertinggi bagi Indeks Prestasi Logistik Bank Dunia menjelang 2020.

Ini juga memberi peluang untuk mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 8.5 peratus bagi subsektor pengangkutan dan penyimpanan dan sekali gus mampu mewujudkan 146,000 peluang pekerjaan tambahan.

Bagi mewujudkan sistem pengangkutan logistik yang efisien, Kementerian Pengangkutan juga akan mengambil langkah menubuhkan satu bahagian khusus iaitu Bahagian Logistik.

Satu Pasukan Petugas Logistik Negera (NLTF) diwujudkan sebagai strategi utama bagi memperkukuh rangka kerja pengawalseliaan sektor logistik yang berperanan untuk melaksana Pelan Induk Logistik Negara dan Kemudahan Perdagangan dan juga menambahbaik proses-proses dan mempertingkatkan pertumbuhan perniagaan.

Di dalam menuju Wawasan 2020 dan seterusnya, dari fasa perancangan dan kini ke fasa pelaksanaan, RMK11 telah menggariskan langkah-langkah jelas sebagai panduan untuk sistem perhubungan yang lebih efisien dan mampu memperkukuhkan kedudukan dan daya saing negara di peringkat dunia.

No comments: