Monday, August 24, 2015

172 PENGENDALI BAS HENTI-HENTI DISELAMATKAN DENGAN DANA SOKONGAN SEMENTARA SEJAK 2012

Dana Sokongan Sementara Bas Henti-Henti atau ISBSF, (Interim Stage Bus Support Fund) adalah inisiatif kerajaan di atas prihatin Perdana Menteri DS Najib Razak bagi mengatasi pengendali-pengendali bas henti-henti dapat meneruskan perniagaan di samping memastikan kualiti perkhidmatan ditingkatkan dan sekali gus menggalakkan rakyat menjadikan bas sebagai mod pengangkutan.

Dana ini adalah langkah sementara agar dapat menyelamatkan perkhidmatan bas henti-henti, demi kepentingan rakyat yang terlibat selaras dengan 'Rakyat Didahulukan' yang sentiasa menjadi pendekatan kerajaan.

Bermula 3 Januari 2012 lalu, kerajaan telah memperuntukkan RM400 juta dana kepada pengendali-pengendali bas henti-henti yang masih bersedia untuk meneruskan perniagaan mereka terutama di kawasan luar bandar dan mereka yang layak perlu memohon kepada SPAD.

Dana bantuan ini diuruskan oleh SPAD dan ini merupakan rancangan jangka pendek terhadap masalah yang dihadapi oleh pengendali dan tujuannya adalah untuk menggalakkan lebih ramai pengendali bas untuk tampil memohon dana tersebut.

Sejak pengumuman itu, sebanyak 172 pengendali bas henti-henti dari seluruh Malaysia telah layak dengan keseluruhan jumlah bayaran sebanyak RM386.16 juta dari mula diluluskan kerajaan.

Dana ISBSF telah memberi manfaat kepada 332,232 penumpang sehari dengan 656 laluan di seluruh Tanah Air. Ini melibatkan perjalanan terkumpul sejauh 38.65 juga kilometer yang dikendalikan oleh 1,704 buah bas sebulan.



Pada Jumaat lalu, di dalam Majlis Penyampaian cek replika telah disampaikan oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar bersama-sama Ketua Pegawai Eksekutif, En Nur Ismal Mohamed Kamal kepada wakil-wakil daripada syarikat bas henti-henti dengan jumlah RM10.3 juta.

Di antara 11 wakil yang hadir adalah dari negeri Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Johor, Sabah dan juga Sarawak.

Namun, dana yang berbentuk sementara ini sekadar membantu pengendali-pengendali bas meneruskan perniagaan setelah terkesan daripada peningkatan kos operasi. Kini satu lagi langkah dan inisiatif kerajaan yang disarankan pihak SPAD memperkenalkan satu skim yang lebih berbentuk kekal, iaitu Skim Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-Henti (SBST) dengan pelancaran myBAS di setiap negeri.

Operasi myBAS telah pun bermula sejak 1 Ogos di Perlis dan bakal dilancarkan secara rasmi pada 25 Ogos. Pelancaran myBAS yang seterusnya akan dilakukan di Seremban, Ipoh, Kuala Terengganu dan Kuching.

No comments: