Friday, October 23, 2015

BILA BAS EKSPRES KE UTARA PINDAH KE TBS, SIAPA AGAKNYA YANG AKAN BANTAH?

Keputusan yang diambil Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengenai perpindahan perkhidmatan bas-bas ekspres ke zon utara dari Pudu Sentral ke Terminal Bas Tasik Selatan (TBS) telah dilakukan setelah perbincangan diadakan dengan pihak-pihak yang berkepentingan.

Pada 20 Januari tahun lalu, pengumuman perpindahan ini telah dibuat Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) Tan Sri Syed Hamid Albar dan penangguhan tidak boleh terlalu lama mahupun dalam keadaan tergesa-gesa bagi mengelak kesukaran semua pihak termasuk pengguna.

Berkuatkuasa November 1, 2015 perkhidmatan Bas Ekspres Koridor Utara dengan rasminya akan berpindah ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) yang merangkumi perjalanan ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Jika dikatakan perpindahan ini menyulitkan dan menyusahkan pengguna, yang pasti akan terasa hanyalah ulat-ulat tiket. Apabila sistem tiket di TBS mengguna sistem secara berpusat (centralised) dan hanya boleh dituntut di kaunter tiket, secara langsung ulat-ulat tiket ini tidak akan dapat bergiat. Malahan, tiket perjalanan boleh ditempah lebih secara 'online' bagi mereka yang mempunyai kemudahan berinteraksi di internet. Oleh itu, secara langsung kita menyokong polisi toleransi sifar terhadap ulat tiket.

Mungkin ada yang kata kesukaran penumpang untuk ke TBS yang agak jauh tetapi sebenarnya pelbagai kemudahan pengangkutan awam di dalam satu lokasi seperti LRT, KTM Komuter, KLIA Transit dan perkhidmatan teksi salinghubung untuk ke pusat bandar.



Apakah di TBS keselesaan dan keselamatan penumpang terjamin? Kepada sesiapa yang pernah mengunjungi TBS, kita bukan sahaja akan kagum dengan prasarana moden, sistematik dan indah tetapi akan berasa selesa dengan kemudahan yang disediakan seperti bilik istirehat VIP, bilik penjagaan bayi dan kemudahan  mesra OKU. Malahan terdapat skrin paparan elektronik jadual perjalanan bas seperti yang terdapat di lapangan-lapangan terbang untuk menyenarai kedatangan dan pelepasan bas.

Pengurusan TBS juga menyediakan perkhidmatan kaunter yang lebih mesra serta kawalan keselamatan yang ketat di mana, pengunjung bukan sahaja akan rasa lebih selamat malahan pegawai-pegawai keselamatan akan pasti menghulur bantuan kepada penumpang ke destinasi pintu perlepasan dan arah tuju pengunjung TBS.

Pihak SPAD telah mengambil keputusan ini dengan persetujuan pihak-pihak berkepentingan seperti berkepentingan seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan pihak Pengendali Bas yang terlibat. Keputusan ini juga mengambil maklum kesan jangkapanjang ke atas Pudu Sentral di mana, masalah kesesakan jalanraya di sekitar Puduraya mampu diatasi apabila sebanyak 545 dari 635 bas ekspres ke utara dipindahkan nanti.

Apa pula perkhidmatan bas yang akan ada di Pudu Sentral nanti? Terminal PS ini akan terus digunakan sebagai terminal bas ekspres jarak dekat dan bas henti-henti termasuk perjalanan dari PS ke Tanjung Malim, KLIA 1, KLIA2 dan Seremban. Malahan, PS akan ditransformasi kepada memainkan peranan sebagai Pusat Transformasi Bandar (UTC) yang menyediakan pelbagai perkhidmatan daripada kerajaan dan sektor swasta kepada rakyat.

Dengan kemudahan, keselesaan dan keselamatan yang dijanjikan SPAD kepada penumpang dan operator bas pelbagai kategori termasuklah perkhidmatan rel dan teksi, transformasi ini adalah sangat bertepatan. Mungkin ada yang berasa sedikit janggal untuk waktu terdekat ini tetapi dari semasa ke semasa, kita pasti akan dapat menerima perubahan ini setelah mengalaminya sendiri.

Yang lebih pasti, kita akan menikmati perjalanan ke destinasi dengan lebih yakin dan selesa tanpa gangguan dan penipuan ulat-ulat tiket. 

Sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut, sila layari www.spad.gov.my atau hubungi Hotline SPAD di 1-800-88-SPAD (7723).

No comments: