Sunday, October 25, 2015

KEPIMPINAN MCA ANGGAP BAJET 2016 KEKAL BERPAKSIKAN KEPERLUAN RAKYAT

Ketika mengulas Bajet 2016 Presiden MCA Dato' Sri Liow Tiong Lai melihat ia masih kekal kepada 'BAJET UNTUK RAKYAT' di mana ia mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengutamakan pembangunan demi rakyat.

Komitmen Kerajaan dalam Bajet 2016 adalah seimbang dengan pembangunan yang terus mampan di mana pembangunan infrastruktur telah mendapat perhatian utama dalam pembentukan masa depan negara demi mencapai cita-cita negara sebagai status negara maju menjelang tahun 2020 nanti.

Bajet yang dikatakan komprehensif ini juga meliputi kepentingan rakyat semua kaum dan lapisan masyarakat. Keperluan golongan berpendapatan rendah dan sederhana telah diutamakan memandangkan kos sara hidup yang terus meningkat dan mempersiapkan rakyat menghadapi cabaran ketidaktentuan ekonomi global pada tahun depan.

Antara langkah-langkah seperti pelepasan cukai bagi kumpulan pertengahan pendapatan, kenaikan dalam pembayaran BR1M, projek perumahan, dan pengangkutan awam yang lebih baik akan memberi manfaat kepada rakyat.

Bagi sektor pengangkutan, Dato' Liow berterima kasih kepada kerajaan kerana telah memperuntukkan dengan bajet yang agak tinggi berjumlah RM5.8 bilion bagi merangkumi projek-projek jalan raya dan jambatan; keretapi dan transit laju; penerbangan awam; pelabuhan dan perkhidmatan laut, yang dijangka mampu memberangsangkan ekonomi.

Bagi parti MCA pula, nampaknya 'wishlist' Bajet 2016 yang telah disuarakan agar sektor usahawan PKS di golongan masyarakat Cina diberi perhatian telah mendapat peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah KOJADI.


Timbalan Presiden MCA dan juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong pula berpendapat bahawa tiada peningkatan dalam pendapatan negara yang mendadak, ini bermakna kita perlu lebih berhemah dan berhati-hati dalam setiap perbelanjaan.

Namun Datuk Wee berpuas hati apabila rakyat yang berpendapatan rendah termasuk penjawat awam, petani dan kumpulan B40 mendapat manfaat yang cukup banyak dari bajet 2016 ini. Bagi kelas berpendapatan sederhana pula, mereka akan mendapat manfaat daripada rebat cukai dan seterusnya mereka akan menikmati akan mendpat pengecualian untuk pendidikan anak-anak mereka. Sekali gus kelas sederhana mampu mengurangkan beban daripada membayar sejumlah besar cukai pendapatan.

Datuk Wee juga menjelaskan bahawa Bajet 2016 kini lebih melindungi kelas berpendapatan rendah apabila lebih banyak produk akan mendapat pelepasan GST. Di antara produk yang mendapat perhatian adalah ubat-ubatan yang kini diperluaskan kepada lebih dari 4,000 jenis. Di samping itu, bajet 2016 juga memberi manfaat kepada kaum petani yang mampu membantu mereka meningkatkan pendapatan dan seterusnya mengurangkan beban mereka.

Bajet 2016 telah dibentangkan Perdana Menteri DS Najib Razak yang juga Menteri Kewangan pada Jumaat lalu, merupakan bajet yang pertama daripada lima belanjawan tahunan di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Bertemakan "Memakmur Kehidupan Rakyat", Bajet 2016 mempunyai lima bidang utama iaitu yang pertama - memperkukuh daya tahan ekonomi negara dengan keutamaan yang melibatkan lebih banyak pelaburan domestik; kedua - meningkatkan pasaran modal menerusi inisiatif, termasuk potongan cukai ke atas kos mengeluarkan Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab bon sukuk; ketiga - PKS dengan langkah-langkah termasuk peruntukan sebanyak RM1 bilion bagi Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah; keempat - infrastruktur sebagai pemangkin untuk semua pembangunan ekonomi dan sosial dan terakhir adalah sektor pelancongan termasuk melanjutkan pengecualian 100% cukai pendapatn hingga 2018.

No comments: