Tuesday, October 13, 2015

LAPORAN TAHUNAN MCA DALAM PERHIMPUNAN AGUNG KE 62


Setiap tahun MCA akan membentangkan laporannya kepada ahli-ahli agar dapat mengikuti perkembangan dan hala tuju parti seterusnya. Di dalam merancakkan lagi aktiviti parti, ahli-ahli MCA yang berjumlah lebih dari 1 juta di seluruh tanah air juga telah disuntik semangat bersatu dan setiakawan di antara parti-parti komponen Barisan Nasional yang terjalin sejak 62 tahun lalu.

Buat pertama kalinya, perhimpunan MCA dihadiri delegasi jemputan dari negara-negara ASEAN dan China selain daripada rakan-rakan parti komponen BN. Kehadiran Presiden BN merangkap Perdana Menteri Malaysia merasmikan perhimpunan tahunan ini juga membawa keyakinan bahawa MCA bukan parti politik bangsa Cina yang perlu dipinggirkan seperti tuduhan DAP. Malahan, kehadiran delegasi dari negara-negara lain juga membuktikan bahawa MCA mempunyai hubungan yang erat di peringkat antarabangsa.

Empat perkara pokok yang dibentangkan di dalam lapuran Presiden merangkumi situasi politik semasa, cabaran ekonomi dan transformasi MCA, agenda pendidikan dan persediaan menghadapi pilihanraya.

SITUASI POLITIK SEMASA

MCA bimbang dengan suasana politik negara seperti jerebu yang melanda di mana unsur-unsur ketegangan kaum sedang melanda. Bermulanya percikan api kebencian dari parti politik pembangkang sehingga menggugat kehidupan seharian masyarakat. Oleh itu, Datuk Liow telah mengingatkan semula semangat dan prinsip yang diperjuangkan Barisan Nasional yang berteraskan konsep kesederhanaan dan kepelbagaian yang telah menjadi formula kejayaan Malaysia.
Datuk Liow Tiong Lai telah memetik kata-kata pengasas parti MCA ini pada 30 Mac 1947 “The different communities in Malaya must develop the feeling of nationality of a Malaya type; they must learn to be united among themselves by common sympathies and be willing to cooperate with each other for common purpose, while at the same time preserving their cultural and intellectual independence.”

Dengan semangat inilah maka UMNO, MCA dan MIC dibawah satu perikatan mendapatkan kemerdekaan dan seterusnya menjadi pengasas kepada negara sehingga terbentuknya BN pada tahun 1974 dan terus menerajui pemerintahan.

Oleh itu, Datuk Liow telah mencadangkan satu penyelesaian yang komprehensif agar kerajaan mewujudkan satu Majlis Rekonsilasi dalam mengatasi dan menyelesaikan isu-isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan juga sosio ekonomi masyarakt. Tanggungjawab majlis ini juga perlu melihat dan mencari solusi bagi jurang pemikiran antara kaum, antara generasi serta di antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Selaras dengan pendekatan dan penerapan nilai-nilai Wasatiyyah yang didokong Perdana Menteri Najib Razak, MCA juga mengamalkan dasar tersebut dalam melaksanakan dasar kesederhanaan, keharmonian, dan perpaduan dalam kepelbagaian.



CABARAN EKONOMI DAN TRANSFORMASI MCA

Di dalam menghadapi cabaran ekonomi negara, Datuk Liow menjelaskan perlunya semua lapisan masyarakat perkuatkan azam dan perkukuhkan perpaduan di mana MCA dibawah kepimpinannya telah bersama-sama menjayakan setiap inisiatif kerajaan.

Di antara usaha transformasi MCA, tiga fasa utama iaitu kempen Teguh Bersama, Memupuk Kepelbagaian dan 10 Strategi Hala Tuju Ekonomi telah dilaksanakan dan membuahkan hasil dalam meningkatkan ekonomi rakyat.

Fasa pertama iaitu kempen 'Teguh Bersama' telah kembalikan perpaduan dan keutuhan dalam MCA berbanding dua tahun lalu dan fasa keduanya pula iaitu 'Memupuk Kepelbagaian' pula telah diterjemahkan dalam mencorakkan ciri-ciri unik Malaysia yang menarik daya saing antarabangsa.

Pada tahun ini, MCA telah melancarkan fasa ketiganya iaitu 10 Strategi Hala Tuju Ekonomi yang mensasarkan kumpulan berkepentingan dan memerlukan. Inisiatif 'One Belt One Road' dan MCA adalah pemudahcaranya untuk perdagangan di antara Malaysia dan negara China.

MCA juga telah mewujudkan urusetia Urusetia untuk Kemajuan Keusahawanan Malaysia (SAME) bagi membantu dan menyelesaikan isu IKS terutamanya dari segi pembiayaan kewangan. YAB Perdana Menteri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta di dalam bajet 2015 dan memandangkan sambutan yang menggalakkan serta keberkesanan membantu pembangunan ekonomi, MCA berharap agar di dalam bajet 2016, Perdana Menteri dapat meluluskan sekurang-kurangnya RM50 juta lagi serta penubuhan Bank Koperasi Kojadi.

Program Neo Urbanisasi telah diperkenalkan MCA bagi pekan-pekan tahap kedua dan ketiga serta kampung-kampung baru di seluruh negara. Pusat Strategik Urbanisasi Baru pula adalah untuk menambahkan lagi peluang pembangunan ekonomi di tempat masing-masing.

Bagi menghadapi cabaran-cabaran dan peluang-peluang yang lebih luas dalam perdagangan global, MCA menyokong penubuhan Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) dan Perjanjian Trans-Pacific Partnership (TPP). MCA akan berperanan membantu perniagaan dan usahawan tempatan meluaskan prospek perniagaan mereka di persada antarabangsa.


AGENDA PENDIDIKAN

MCA berpendirian tegas dan tidak akan akur kepada mana-mana pihak yang ingin menghapuskan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). Dalam usaha meningkatkan pendidikan SJKC, MCA telah melancarkan Pelan Sekolah Pintar 2.0 bagi mempertingkatkan tahap penguasaan Bahasa Malaysia dan Inggeris di kalangan pelajar-pelajar SJKC.

Ketegasan MCA ini bukan sekadar ingin mengekalkan legasi tetapi telah ditegaskan juga oleh YAB PM di dalam ucapannya, kepelbagaian aliran pendidikan adalah juga prinsip Barisan Nasional sejak penubuhannya.

Di dalam menuju pencapaian negara maju menjelang tahun 2020, selain menambahbaik Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (KUTAR), MCA telah mempersiapkan pusat-pusat pengajian teknikal dan vokasional melalui kolej Technical Vocational Education Training (TVET) di Setapak serta dua lagi kampus di di Kuantan, Pahang dan kampus di Kota Kinabalu, Sabah.

Pertama kali, UTAR telah berjaya melahirkan kumpulan pertama 25 graduan dari fakulti perubatan dan bagi melatih lebih ramai pakar perubatan, MCA sedang berusaha membangunkan sebuah Hospital Universiti Swasta di Kampar, Perak.



BERSEDIA MENGHADAPI PILIHANRAYA

Datuk Liow telah memberi jaminan peribadinya yang MCA akan terus perjuangkan kepentingan majmuk dan khususnya masyarakat Cina. MCA akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang dengan mengutamakan nilai-nilai murni seperti tadbir urus (good governance) yang baik, ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Taktik politik kotor pembangkang yang dahulunya Pakatan Rakyat dan kini timbul pula Pakatan Harapan, akan terus didedahkan MCA. Kekeliruan dan penipuan yang sengaja diwujudkan pembangkang ini jelas terbukti apabila  di antara mereka gagal bersatu dan berkompromi sesama mereka. Justeru, taktik kotor mereka ini hanyalah untuk menutup kegagalan mereka menangani perbezaan dan sekali gus membuktikan impian mentadbir Malaysia hanyalah satu impian kosong.

MCA akan menyedarkan rakyat agar tidak dijadikan mangsa yang akhirnya mereka yang menerima padah akibat dari pertelingkahan yang tiada kesudahan sesama parti-parti pembangkang.

Pendekatan DAP yang gemar menyemai benih kebencian antara kaum dengan pendekatan konfrontasi hanya akan membawa kerugian besar kepada masyarakat Cina. Oleh itu, Datuk Liow menegaskan, MCA di bawah kepimpinannya tidak akan sekali-kali memainkan isu perkauman seperti yang dilakukan DAP yang sebenarnya hanya untuk kepentingan diri mereka sendiri.

Justeru, MCA tidak pernah dan tidak akan menyerah kalah malah akan terus menggalas tanggungjawab dan amanah yang dipegang sejak kemerdekaan lagi untuk bersama-sama memajukan Malaysia atas dasar kebersamaan dan kesefahaman antara kaum.

Apabila YAB Perdana Menteri telah memberi peluang kedua kepada MCA menduduki jawatan di dalam kabinet kerajaan, maka MCA bukan sahaja berterima kasih malahan MCA perlu mempunyai satu suara dan satu matlamat dalam berganding bahu bekerjasama dalam perjuangan dan jauhkan diri dari bertelagah sesama sendiri.

Memetik kata-kata Aesop, ahli falsafah yunani purba “Those who betray their friends, do not always realize that they are destroying themselves” dan berpesan agar janganlah kita menjadi enau dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing, Datuk Liow berharap agar perselisihan faham sesama sendiri perlu dihentikan.

Beliau mengakhiri laporan tahunan MCA dengan menyeru ahli-ahli MCA agar bangkit dan bersatu bagi memastikan kesinambungan BN terjamin pada PRU akan datang sebagai satu kenyataan, malahan yang lebih utama ialah memastikan masa depan Malaysia terjamin, aman dan makmur selama-lamanya.

No comments: