Wednesday, November 18, 2015

PERHIMPUNAN HARAM PEMANDU TEKSI INGKAR AKAN BERHADAPAN TINDAKAN SERIUS


Pihak polis telah pun keluarkan amaran kepada pemandu-pemandu teksi untuk tidak menyertai perhimpunan yang dirancang akan diadakan pada hari Rabu di pelbagai lokasi  di ibu negara kerana ia adalah menyalahi undang-undang. Mereka yang disabitkan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 11, Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kerana pihak penganjur gagal mengemukakan apa-apa kebenaran rasmi daripada pemilik tempat perhimpunan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Nancy Shukri menjelaskan bahawa perhimpunan yang dirancang oleh pemandu teksi tertentu ini hanyalah sia-sia dan tidak patriotik apabila ia hanya akan mencemarkan imej negara di kala Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah di Sidang Kemuncak ASEAN. Tarikh yang telah dipilih oleh pihak penganjur bukanlah satu kebetulan tetapi disengajakan dan YB Nancy kesal apabila mereka dimanipulasi oleh pembangkang.

Pemandu teksi sentiasa dianggap sebagai barisan hadapan dan duta kecil bergerak untuk negara ini. Sebagai warga yang bertanggungjawab, inilah masa yang terbaik untuk berkongsi kisah kejayaan tentang negara kita apabila perwakilan seluruh dunia berkumpul. Pemandu teksi perlu mengambil peluang ini untuk menggambarkan kita rakyat Malaysia dalam masyarakat yang berbilang kaum boleh hidup dengan aman, damai dan matang berdemokrasi.

Malah ia adalah tidak adil kepada pemandu-pemandu teksi lain yang bersikap baik dan berdisiplin yang telah meletakkan usaha bagi memastikan dapat meningkatkan perkhidmatan dan imej mereka.

Sekiranya di antara pemandu-pemandu teksi ingkar ini mendakwa mereka mewakili majoriti untuk membuat bantahan terhadap SPAD dan Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar, NGO teksi terbesar di Malaysia PETEKMA dengan lebih 60,000 ahli di seluruh Malaysia dan lebih 9,000 ahli di Lembah Klang, memilih perbincangan di meja bulat untuk mengatasi keluhan dan masalah mereka.

Pengerusi PETEKMA En Shahril tidak menafikan bahawa mereka sememangnya terkesan dengan perkhidmatan Uber dan GrabCar, namun untuk menyuarakan rasa tidak puas hati di jalanan tidak akan menjadi penyelesaian yang terbaik. Beliau juga telah memberi amaran untuk mengambil tindakan tegas terhadap ahli-ahlinya yang terlibat.

Adalah tidak benar jika dakwaan mengatakan SPAD tidak langsung bertindak ke atas teksi-teksi Uber dan GrabCar kerana di dalam rekod SPAD, setakat ini mereka telah merampas 140 kenderaan persendirian yang digunakan secara haram mengambil penumpang. Pengendalian permohonan perkhidmatan teksi di talian pula terletak di dalam bidang kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan bukan SPAD di mana ramai yang telah keliru.

Pada hari Sabtu lalu, kira-kira seramai 1,000 pemandu teksi, pengendali dan peserta telah berkumpul untuk berikrar memberi sokongan mereka kepada SPAD. Dalam usaha untuk mencapai matlamat mereka memperbaiki dan memberi perkhidmatan yang berkualiti semasa bertugas, mereka berjanji bahawa mereka akan bekerjasama dengan SPAD demi memartabat industri teksi dan memilih untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka kepada pelanggan.


Sementara itu dalam satu sidang akhbar bersama yang diadakan semalam di antara Petekma, Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Shah Alam Persatuan City dan Persatuan Teksi Giant Seksyen 13 Shah Alam, mereka bersama-sama bersetuju bahawa mereka yang terlibat di dalam perhimpunan haram ini boleh dikenakan tindakan di bawah Akta SOSMA dalam usaha mereka untuk mensabotaj Sidang Kemuncak ASEAN.
 

No comments: