Sunday, November 08, 2015

PLAN STRATEGIK 10 TAHUN PENGANGKUTAN ASEAN TERMETERAI DI KUALA LUMPUR


Selepas Pelan Tindakan Brunei 2011-2015 yang telah mencapai hampir 90% kejayaan perlaksanaanya, kini Plan Tindakan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTS) 2016-2025 telah termeterai di antara Menteri-Menteri Pengangkutan ASEAN di dalam mesyuaratnya yang ke 21. Fokus plan strategik 10 tahun ini adalah untuk memperkukuhkan sektor pengangkutan udara, darat dan maritim di antara negara-negara anggota ASEAN.

Tiga negara rakan dialog ASEAN iaitu China, Jepun dan Korea Selatan juga turut serta di dalam mesyuarat ini yang telah berlangsung selama 2 hari sejak hari Khamis lalu. 30 matlamat, 78 pelan tindakan dan 221 tanda aras telah digariskan bagi mengukuhkan pengangkutan mampan dan kemudahan pengangkutan.

Di dalam plan KLTS, sasaran terbesar semua negara anggota di dalam pengangkutan darat adalah untuk mengurangkan kemalangan maut dalam tempoh 5 tahun akan datang. Oleh itu, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya atau MIROS telah dilantik sebagai Pusat Keselamatan Jalan untuk Asia Tenggara bagi mengguna pakai amalan pengurusan keselamatan jalan raya yang baik dan mempromosi serta mendidik negara Asean mengenai keselamatan jalan raya.

Dalam pengangkutan udara, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pernah umumkan polisi 'Open Skies' sebagai topik penting di dalam mesyuarat ini bagi merealisasikan liberalisasi sektor penerbangan ASEAN sebagai pemangkin utama pertumbuhan ekonomi di rantau ini pada tahun 2030 nanti. Datuk Liow juga telah memaklumkan negara-negara anggota ASEAN telah menandatangani 3 perjanjian 'Open Skies'.

Bagi pengangkutan maritim pula, satu koridor pelayaran telah dirancang untuk diwujudkan pada tahun 2019 di mana 47 pelabuhan dihubungkan di negara-negara anggota. Datuk Liow juga mengumumkan selain daripada pelabuhan di Melaka dan Kuantan, negara-negara Asean sedang berusaha membentuk "port-alliances' dengan China.

Selain itu, perkara-perkara berkaitan Pasaran Penerbangan Tunggal ASEAN, Pasaran Perkapalan Tunggal ASEAN, pelepasan gas rumah hijau, tenaga lestari, pengurangan pencemaran daripada pengangkutan dan hubungan serantau dengan negara China, Jepun dan Korea Selatan telah mendapat perhatian serius.

Sektor pengangkutan menyumbang 22.9 peratus daripada pelepasan gas di Malaysia, manakala pengeluaran tenaga terus menjadi penyumbang terbesar pelepasan gas iaitu kira-kira 54.9 peratus. Oleh itu Malaysia sangat komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 40 peratus yang selaras dengan ikrarnya ketika Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 2009 di Copenhagen. Oleh yang demikian Malaysia dan negara anggota ASEAN akan berganding bahu bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau untuk tempoh 10 tahun akan datang.

Plan Tindakan Strategik Pengangkutan Kuala Lumpur (KLTS) yang telah berjaya termeterai di Kuala Lumpur inilah pelan induk untuk terus melangkah ke hadapan dalam sektor pengangkutan di rantau ASEAN nanti.

No comments: