Friday, January 01, 2016

MCA : SAMA-SAMA BERAZAM UNTUK 2016


YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA
PERUTUSAN TAHUN BARU
1 Januari 2016

Di saat 2015 melabuhkan tirai, marilah kita mengambil kesempatan ini untuk mengimbau kembali detik setahun yang lalu serta sama-sama mengalu-alukan kedatangan tahun baru.
Tidak dinafikan bahawa tahun 2015 merupakan tahun yang mencabar buat seluruh warga Malaysia, lebih-lebih dari sudut ekonomi. Kita juga tidak bersendirian di mana seluruh dunia turut berdepan cabaran pertumbuhan ekonomi yang perlahan. Sedang kita mengorak langkah menuju ke tahun baru, yakinlah bahawa Kerajaan telah melaksanakan pelbagai usaha bertujuan untuk meringankan beban kewangan Rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Antara inisiatif utama adalah dengan bermulanya pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11, yang dijangka akan memberi kesan positif terhadap ekonomi negara.
Di samping itu, kita sedikit sebanyak turut menerima kesan unsur-unsur perpecahan yang kini kian mengancam perpaduan negara. Dengan dunia berkembang ke arah globalisasi, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk menghayati nilai-nilai murni yang mencerminkan sifat warga Malaysia.
Kita seharusnya tidak mempunyai pendirian yang serong terhadap satu-satu bangsa, lebih-lebih lagi apabila kita saling hidup dalam masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan budaya. Sebaliknya, kita harus mendukung dan menegakkan nilai-nilai penerimaan, penghormatan dan seterusnya menghargai segala pengorbanan para atok moyang kita dalam perjuangan mereka untuk mencapai kemerdekaan. Dalam usaha berterusan tanah air untuk mencapai status negara maju di peringkat global, adalah amat penting bagi kita untuk bukan sahaja mengetepikan perbezaan, malah turut mempertahankan kepelbagaian budaya yang menjadi keunikan negara tercinta ini.
Warga Malaysia sekalian, saya berasa bangga di atas semangat ketahanan jitu negara ini walaupun kian berdepan dengan segala cabaran. Marilah kita sama-sama berazam untuk sentiasa berdiri teguh dalam menghadapi segala cabaran yang mendatang selain turut meraikan segala nikmat yang telah kita kecapi bersama sebagai sebuah negara.
Sudah tentu ramai akan mengambil peluang ini untuk bercuti serta meluangkan masa bersama keluarga tercinta dan rakan-rakan pada hujung minggu yang panjang ini. Pesanan saya kepada semua adalah supaya anda dapatkan rehat yang mencukupi. Sila memandu dengan berhati-hati demi insan tersayang dan pengguna jalan raya yang lain.
Selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia!

YB DATO’ SRI LIOW TIONG LAI
PRESIDEN MCA
MENTERI PENGANGKUTAN MALAYSIA

... dan tidak ketinggalan dari Timbalan Presiden MCA, Datuk Wee Ka Siong;

 

No comments: