Saturday, February 20, 2016

KEJAYAAN MyBas KANGAR DAN SEREMBAN DIPERLUAS KE IPOH


Perkhidmatan bas henti-henti di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti atau Stage Bus Services Transformation (SBST) yang dibiayai oleh kerajaan telah diperkenalkan pada setahun lalu dan percubaan ini dapat kejayaan yang menggalakkan di Kangar dan kemudian di Seremban dan kini di Ipoh pula.

Kejayaan inisiatif kerajaan di Kangar dan Seremban ini diukur berdasarkan kepada kenaikan jumlah penumpang. Sehingga kini, jumlah penumpang bas di Kangar telah meningkat sehingga 50% sejak mula beroperasi pada 1 Ogos 2015, manakala di Seremban telah bertambah dari 53,500 kepada 99,000 dari 15 November sehingga Disember 2015.

MyBas ialah sebuah model yang menyamai dengan perkhidmatan bas merah di London di mana ia dikawal selia oleh kerajaan dan dikendalikan pihak swasta, yang menjadi sebahagian daripada usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan bas henti-henti.

Apabila pihak kerajaan mengambil inisiatif ini, pihak kerajaan bukan mengambil alih operasi bas henti-henti ini malahan di pihak kerajaan akan menanggung operasi dan pengusaha MyBas akan dibayar. Setiap pengusaha MyBas diberikan kontrak selama lapan tahun untuk mengendalikan operasi dengan mengikut standard perkhidmatan yang ditetapkan pihak SPAD.

Selepas kejayaan di Kangar dan Seremban, perkhidmatan MyBas diluaskan ke Ipoh pula dengan perjanjian bersama The Combined Bus Services Sdn. Bhd. (TCBS). Majlis menandatangani ini telah berlangsung di ibu pejabat SPAD yang telah dihadiri Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid Jaafar Albar, Pengerusi SPAD dan Mohd Azharuddin Mat Sah, Ketua Pegawai Eksekutif SPAD.

Laluan myBas Ipoh akan melalui kawasan-kawasan yang tidak mempunyai perkhidmatan bas seperti Chemor, RTC Gopeng,Station 18, Menglembu, Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Jusco Ipoh dan SMK Gunung Rapat dan juga diintegrasikan dengan stesen KTM. Daripada 12 laluan MyBas melebarkan perkhidmatan kepada 16 laluan yang meliputi 254 km.

Tan Sri Dato’ Seri Dr. Syed Hamid yakin yang inisiatif ini mampu beri manfaat kepada pengguna perkhimdatan bas dan akan diterima baik penduduk tempatan. Pihak SPAD telah menetapkan peningkatan jumlah penumpang dari 5.9 juta setahun ke 8.88 juta di dalam tahun pertama operasi.

Pada fasa pertama yang bermula pada tahun lepas, kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM100 juta untuk perkhidmatan di Seremban dan Kangar dan seterusnya untuk Ipoh dan akan datang di Kuala Terengganu. Perkhidmatan myBas akan diperluaskan ke kawasan ibu kota negeri yang lain untuk tahun-tahun berikutnya dan kerajaan telah memperuntukkan kira-kira RM2.7 bilion sehingga tahun 2020 nanti.
 

No comments: