Saturday, March 19, 2016

DATO’ LIOW : NILAI PASARAN PENERBANGAN #INDIA HAMPIR USD16 BILION, MALAYSIA TIDAK AKAN LEPASKAN PELUANG


Di antara pencapaian Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ialah apabila berjaya menerajui Asean pada tahun lepas dan kini masih mendapat pengiktirafan kerjasama dengan negara-negara serantau Asia termasuklah India.

Dalam usaha berterusan untuk membangunkan sektor penerbangan awam, Datuk Seri Liow Tiong Lai selaku Menteri Pengangkutan telah mengetuai Menteri Pengangkutan ASEAN di dalam Rundingan Perjanjian Pengangkutan Udara ASEAN-India. Rundingan perjanjian ini adalah untuk mencapai perjanjian langit terbuka bersama India.

Ini bukan saja satu penghargaan malahan satu pengiktirafan kepada kerajaan Malaysia malahan pujian juga sepatutnya diberikan kepada Datuk Seri Liow yang sebelum ini telah berjaya mengambil bahagian di dalam beberapa perundingan antarabangsa seperti IA-ATA dan ASEAN. Pengalaman dan kecekapan Datuk Liow juga telah teruji ketika berhadapan di Bangsa-Bangsa Bersatu dengan isu MH17 dan MH370 dan yang terkini TPPA.

Kecekapan Malaysia berunding dan menangani isu MH17, MH370 dan TPPA serta mandat yang dipegang Kementerian Pengangkutan untuk meningkatkan perhubungan pengangkutan negara, perjanjian kali ini fokus kepada usaha untuk menambah penerbangan ke India. Perbincangan telah diadakan di antara Tuan Yang Terutama Shri P. Ashok Gajapathi Raju, Menteri Penerbangan Awam India ketika Pameran & Persidangan Antarabangsa Penerbangan Awam (Penerbangan India 2016) ke-5.

Memandangkan India merupakan pasaran penerbangan awam ke 8 terbesar di dunia dengan nilai pasaran yang dianggarkan sebanyak USD16 billion, Malaysia tidak akan melepaskan peluang untuk menembusi peluang potensi ini. Dijangkakan India akan terus berkembang dan bakal menjadi pasaran penerbangan awam ketiga terbesar di dunia menjelang 2020.

Walaupun pada kini pengendali syarikat penerbangan di Malaysia seperti Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia, AirAsia X dan Malindo Air telah pun menawarkan penerbangan ke 24 destinasi di seluruh India yang merangkumi enam bandar-bandar utama iaitu Delhi, Kolkata, Mumbai, Chennai, Bangalore dan Hyderabad, serta 18 bandar-bandar lain antaranya seperti Goa, Jaipur, Port Blair, Kochi, Ahmedabad dan Tiruchirappalli, kerajaan melihat industri penerbangan awam ini mempunyai prospek yang sangat bagus untuk dipertingkatkan.

Di antara intipati perbincangan juga merangkumi tambahan kapasiti tempat duduk daripada 20,000 ke 40,000 bagi setiap minggu. Ini adalah kerana, syarikat-syarikat penerbangan ini telah memenuhi kapasiti tempat duduk yang telah diperuntukkan. Kerajaan juga berhasrat untuk menambah destinasi penerbangan ke lapan Bandar lain, khususnya Coimbatore, Madurai, Pune, Vijayawada, Mangalore, Surat, Chandigarh dan Srinagar.

No comments: