Friday, June 03, 2016

#myBAS UNTUK RAKYAT IPOH BERMULA 1 JUN 2016


Berita baik untuk warga sekitar Ipoh apabila projek perkhidmatan pengangkutan awam myBAS yang diperkenalkan SPAD dan dibiayai sepenuhnya kerajaan persekutuan akan bermula pada 1 Jun 2016.

Perkhidmatan bas henti-henti di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Henti-henti ini telah berjaya dilaksanakan dan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di Seremban dan Kangar.

Yang pasti, warga Ipoh akan menikmati sambungan laluan bas yang lebih luas di seluruh bandar Ipoh. Liputan penuh laluan myBAS Ipoh dijangka akan dilaksanakan pada bulan Ogos tahun ini. Dijangkakan akan meliputi sejauh 312km berbanding laluan yang sebelum ini hanya sejauh 132km.

Fasa 1 akan melalui Terminal Amanjaya (T30a), Stesen Bas Ipoh – Chemor (T30b, melalui Terminal Amanjaya), Stesen Bas Ipoh – RTC Gopeng (T34) dan Terminal Amanjaya – Stesen Bas Ipoh (T37, melalui – Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah) dan 2 laluan bas feeder: Oldtown Ipoh (F303) dan Bandaraya Ipoh – Jusco Ipoh (F304).

Perkhidmatan terus dari Stesen Bas Ipoh ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah juga telah disediakan. Di samping itu, stesen KTMB Ipoh juga akan dihubungkan dengan Stesen Bas Ipoh melalui laluan feeder baru dan terdapat juga perkhidmatan dari pelbagai lokasi ke Terminal Amanjaya.

Pengerusi SPAD Tan Sri Hamid telah menyatakan yang pihak SPAD telah menetapkan standard perkhidmatan baru untuk bas henti-henti dengan pengenalan myBAS dan akan terus memantau prestasi operator. Di bawah model ini, SPAD sebagai pihak berkuasa perancang akan bertanggungjawab ke atas rangkaian, kos operasi dan akan menerima hasil kutipan tambang.

Bagi syarikat pengendali pula, mereka akan dibayar bagi setiap kenderaan mengikut peratus kadar kilometer. Mereka juga dikehendaki untuk menunaikan tahap prestasi perkhidmatan yang dipersetujui untuk memastikan penumpang menikmati perkhidmatan dan sambungan laluan bas yang lebih baik.

Kerajaan Persekutuan telah komit untuk melabur RM100 juta bagi menjayakan projek SBST di mana pihak SPAD telah diamanah untuk mengetuai perlaksanaannya di lima bandar, iaitu Kangar, Seremban, Ipoh, Iskandar Johor dan juga Kuala Terengganu demi meningkatkan mobiliti dan akses di kawasan di luar Lembah Klang di mana bas masih merupakan tulang belakang pengangkutan awam darat.

MyBas ialah sebuah model yang menyamai dengan perkhidmatan bas merah di London di mana ia dikawal selia oleh kerajaan dan dikendalikan pihak swasta, yang menjadi sebahagian daripada usaha untuk mentransformasikan perkhidmatan bas henti-henti.

No comments: