Sunday, June 19, 2016

#PRK SG BESAR : PLAN TRANSFORMASI MCA BERJAYA PIKAT PENGUNDI CINA DI SEKINCHAN


Tumpuan ketika berlangsungnya pilihanraya kecil di Sungai Besar adalah di DUN Sekinchan di mana menguji keberkesanan kempen MCA di kalangan pengundi Cina yang merupakan majoritinya. DUN Sekinchan juga adalah kubu kuat DAP selama 3 penggal. Justeru, Perdana Menteri dan juga Pengerusi Barisan Nasional telah menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 30 peratus perlu dicapai di dalam PRK ini.

Setelah keputusan diumumkan, dengan majoriti yang sangat memberangsangkan di mana YB Budiman telah memperolehi majoriti sebanyak 9,191 mengalahkan calon PAS yang merupakan ADUN Meru, Dr Abdul Rani Osman dan calon tajaan DAP iaitu Amanah, Azhar Abdul Shukur, telah menyaksikan peningkatan sebanyak 35 peratus berbanding hanya 13 peratus sahaja ketika PRU13 yang lalu.

Sekali gus, ini telah melepasi sasaran yang diinginkan DS Najib Razak dan secara keseluruhan kawasan yang dijaga MCA telah mendapat 40 peratus pengundian dari pelbagai kaum. Kempen di Sekinchan yang diketuai Ketua Pemuda MCA Senator Chong Sin Woon yakin bahawa ia sebagai satu titik permulaan kejayaan misi transformasi MCA dan prinsip parti 'Stronger Together'.

Kehadiran pemimpin serta kesungguhan pasukan kempen MCA mendekati masyarakat Cina di Sekinchan dengan penuh sopan dan merendah diri telah berjaya meyakinkan mereka dan sekali gus telah menunjukkan mereka telah menolak dan bosan dengan pakatan-pakatan yang diwujudkan pembangkang khususnya di Selangor.



Kegagalan pembangkang untuk bersatu di mana pertelingkahan yang berterusan di antara PAS dan DAP dan sekarang sesama sendiri di dalam PKR, telah membuka mata pengundi bahawa hanya Barisan Nasional yang mampu dan serius memperjuangkan masa depan mereka. Kerjasama yang terjalin di antara parti komponen utama parti iaitu UMNO, MCA, Gerakan dan disokong dengan beberapa parti dari Sarawak, telah berjaya meyakinkan bahawa hanya BN satu-satunya parti politik di Malaysia yang mampu mengekalkan perpaduan dan keharmonian masyarakat pelbagai kaum.

Saranan MCA untuk mempastikan agar mereka mempunyai wakil kerajaan di dalam kawasan Parlimen mereka juga telah berjaya disambut dan diterima masyarakat Cina di Sekinchan. Ini jelas terbukti apabila pembangkang dipilih sebagai wakil mereka, tiada peningkatan pembangunan yang mampu dibawa malahan segala pembangunan yang dinikmati adalah hasil daripada wakil-wakil BN yang terdahulu.

Walaupun kejayaan kerajaan BN membawa pulang dua nelayan Sekinchan yang ditahan di Indonesia dilihat sebagai strategi kempen BN, namun masyarakat Cina di Sekinchan telah menyedari hanya MCA dan BN mampu melakukan kebaikan untuk mereka.

Sekali gus, MCA bukan sahaja berani menembusi kubu kuat DAP di dalam siri kempen PRK Sg Besar ini tetapi mereka juga berjaya memberi penerangan di dalam setiap isu semasa termasuklah peluang-peluang yang terbentang luas yang disediakan kerajaan yang telah diamanahkan kepada MCA. Di antaranya adalah isu pendidikan sekolah Cina, peningkatan pembangunan di kampung-kampung baru dan juga peluang perniagaan ke negara China.


Sesungguhnya, semua barisan kepimpinan BN perlu meneruskan lagi kesatuan yang telah ditunjukkan di PRK Sg Besar ini dan berusaha lebih gigih lagi untuk mendekati masyarakat Cina. Tahniah MCA, setelah berjaya di PRN Sarawak dan kini di Sg Besar, sesungguhnya kesungguhan dan ketelusan kepimpinan DS Liow Tiong Lai dan DS Wee Ka Siong, akan berterusan meyakini masyarakat Cina untuk kembali menyokong Barisan Nasional.

No comments: