Wednesday, July 20, 2016

APA YANG DIPERSETUJUI DI ANTARA KERAJAAN MALAYSIA DAN SINGAPURA DALAM PROJEK KERETAPI LAJU?


Saat yang dinantikan untuk merealisasi impian rakyat Malaysia melihat projek mega keretapai laju KL-Singapura telah menjadi kenyataan apabila termeterainya perjanjian di antara kedua-dua negara ini. Perjanjian telah ditandatangani oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang mewakili Malaysia manakala Singapura pula telah diwakili Menteri Infrastruktur dan Pengangkutannya, En Khaw Boon Wan.

Perjanjian bersejarah ini telah disaksikan oleh kedua-dua Perdana Menteri PM Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan PM Lee Hsien Loong. Sekali gus ini menandakan komitmen tinggi kedua-dua pemimpin negara ini untuk meneruskan projek keretapi laju yang telah diumumkan buat pertama kalinya oleh kedua-dua pemimpin tertinggi ini pada February 2013.

Pasti ramai tertunggu-tunggu apakah intipati perjanjian yang telah dipersetujui di antara kedua-dua negara ini setelah perbincangan demi perbincangan telah diadakan sehingga ada yang cuba membuat beberapa spekulasi.

Berikut adalah 8 rumusan daripada intipati perjanjian yang telah dipersetujui bersama oleh kerajaan Malaysia dan Singapura;

1. Bertanggungjawab untuk membangun, membina dan menyenggara infrastruktur awam dan stesen dalam negara masing-masing di mana di Malaysia akan dilaksanakan oleh MyHSR Corporation dan The Land Transport Authority (LTA) di Singapura pula.

2. Melantik melalui tender antarabangsa sebuah syarikat aset bagi menyediakan dan menyenggarakan aset-aset HSR (High Speed Rail), khususnya gerabak keretapi serta apa saja yang berkaitan dengan sistemnya seperti  trek, janakuasa, isyarat dan telekomunikasi.

3. Melantik melalui tender antarabangsa dua syarikat keretapi. OpCo International akan mengendalikan perkhidmatan HSR antarabangsa yang merangkumi jangkamasa perjalanan keretapi selama 90 minit, perjalanan tanpa henti di antara Bandar Malaysia-Singapore Express Service dan perkhidmatan 'shuttle' Iskandar Puteri ke Singapura. Syarikat OpCo tempatan akan mengendalikan segala perkhidmatan domestik dalam Malaysia.

4. Segala kemudahan Kastam, Imigresen dan Kuarantin atau Customs, Immigration and Quarantine (CIQ) di 3 lokasi dikendalikan bersama iaitu di Singapura, Iskandar Puteri dan Kuala Lumpur. Setiap penumpang dari luar negara perlu menjalani pelepasan CIQ kedua-dua pihak berkuasa negara sewaktu masa pelepasan dan bukan ketika masa ketibaan seperti lazimnya.

5. Membentuk jawatankuasa bilateral dengan wakil-wakil daripada kedua-dua kerajaan untuk mengawal selia perkhidmatan merentas sempadan (Ekspres dan Shuttle) serta isu-isu yang mungkin memberi kesan kepada perkhidmatan ini serta perkara-perkara lain yang melibatkan kepentingan bersama.

6. Membentuk Pasukan Projek Bersama untuk mengurus hal ehwal bersama di dalam aspek perancangan projek dan kerja-kerja pembangunan sebelum operasi dimulakan.

7. Bersama-sama menawar tender antarabangsa pada bulan Ogos 2016 untuk melantik Rakan Kongsi Pembangunan Bersama bagi persediaan sokongan teknikal termasuk perkara-perkara yang melibatkan sistem komunikasi dua hala dan integrasi.

Yang paling penting adalah;

8. Bersama-sama berusaha untuk memastikan projek keretapi laju KL-Singapura dapat memulakan operasi seperti dijadualkan pada 2026.


Di antara perkara yang perlu kita ketahui adalah mengetahui siapakah pihak-pihak yang bertanggungjawab secara langsung untuk mempastikan projek mega ini berada di landasan yang betul dan segala perancangan dapat dilaksanakan secara teratur dan berjaya.

SPAD  - Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat adalah pihak diberi tanggungjawab bagi pihak kerajaan Malaysia sebagai perancang, pengawalselia dan penguatkuasa untuk semua urusan hal-hal tanah pengangkutan awam. Ditubuhkan pada 3 Jun 2010 di bawah Akta Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat 2010, Suruhanjaya adalah di bawah bidang kuasa Perdana Menteri Malaysia secara langsung.

MyHSR Corporation - Syarikat yang dimilik penuh Pebadanan Menteri Kewangan Malaysia telah ditubuhkan pada tahun 2015 khusus untuk projek keretapi laju KL-Singapura. Syarikat ini bertanggungjawab memastikan perjalanan, perkembangan dan perlaksanaan projek ini.

LTA - Land Transport Authority adalah badan berkanun di bawah Kementerian Pengangkutan Singapura. Kumpulan HSR di dalam LTA bertanggungjawab untuk aspek pembangunan rekabentuk kejuruteraan dan pelaksanaan projek yang bekerjasama rapat bersama-sama agensi-agensi berkaitan di antara kedua-dua negara Malaysia dan juga Singapura.
 

No comments: