Tuesday, March 21, 2017

APAKAH UMNO TELAH TUNDUK KEPADA TUNTUTAN DONG ZONG?


Seandainya masyarakat Melayu terutamanya dari kalangan ahli-ahli UMNO masih memandang sinis dan tidak mempercayai ketelusan Dong Zong, ini adalah kerana kenyataan-kenyataan pemimpin mereka di masa lalu yang terlalu rasis dan terlalu memusuhi UMNO dan BN sehinggakan mereka melihat MCA dan Gerakan sebagai tunduk kepada kehendak UMNO.

Namun, sebagai parti yang meneraju pemerintahan negara, UMNO telah berkali-kali diseru Presidennya DS Najib Razak agar lebih inklusif  di dalam pendekatan mereka jika ingin dilihat sebagai parti Melayu yang terbesar di Malaysia ini sebagai parti yang mampu memperjuangkan keadilan untuk semua semua kaum.

Apabila Dong Zong ingin polimikkan sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sehingga sanggup bersekongkol dengan DAP di masa lalu, lantas timbul pula isu perkauman melampau sehingga persoalan pokok iaitu pendidikan telah menjadi isu pinggiran. Sejarah pendidikan bersegmen Melayu, Cina, Inggeris dan Tamil tidak dapat dielakkan kerana inilah juga tuntutan kemerdekaan dari British.

Malahan wujudnya sekolah persendirian cina di awal penubuhan Tanah Melayu berkait rapat dengan penyebaran fahaman komunisma yang menular di kalangan bangsa Cina adalah sangat genting dan akhirnya demi perpaduan rakyat, kerajaan telah mewujudkan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang berpasakkan Perlembagaan negara.

Buat pertama kalinya di dalam sejarah negara, seorang Ahli Majlis Tertinggi UMNO telah menghadirkan diri di dalam majlis Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia anjuran Dong Zong baru-baru ini, Tan Sri Annuar Musa juga selaku Ketua Penerangan UMNO, pelbagai salah faham telah timbul. Kekeliruan ini telah berlanjutan apabila Tan Sri Annuar telah membawa usul pengiktiran UEC ke parlimen di dalam ucapan bahasnya.

Apakah benar Tan Sri Annuar sekarang sedang membawa bangsa Melayu dan kuasa Melayu (UMNO) tunduk dengan kehendak Dong Zong?

Selama ini Dong Zong telah mendakwa tidak mendapat respon positif dari pihak Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk mengiktiraf UEC bagi kemasukan ke IPTA dan juga kelayakan untuk penjawat awam. Manakala, di pihak kedua-dua kementerian telah menegaskan agar sistem pendidikan sekolah persendirian Cina mematuhi syarat kelayakan yang telah ditentukan di dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Tetapi apabila diteliti apa yang dibawa Tan Sri Annuar di parlimen, isu mengiktiraf UEC seharusnya dilihat dari sudut pendidikan berpasakkan dengan Perlembagaan Negara di mana yang menjadi tuntutan Perlembagaan tidak boleh dikompromi dan pada masa yang sama hak-hak semua kaum juga tidak dinafikan.

Sebagai salah seorang kepimpinan tertinggi UMNO, Tan Sri Annuar juga dapat merasakan yang kepimpinan Dong Zong hari ini telah menyedari yang selagi mereka dibelenggu dengan politik DAP, perjuangan mereka untuk mengiktiraf UEC tidak akan mendapat penyelesaian dan akhirnya, generasi bangsa Cina akan terus menjadi mangsa politik perkauman DAP.

Langkah berani Tan Sri Annuar ini juga telah mendapat perhatian dari Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meminta Kementerian Pendidikan untuk menjalankan kajian mendalam dan mengemukakan syor mereka mengenai UEC yang tidak diiktiraf pada peringkat nasional. Di dalam mengutamakan perpaduan bangsa, Sarawak telah tegas untuk mengiktiraf UEC oleh Allahyarham Ketua Menterinya yang terdahulu dan kini penggantinya berikrar akan meneruskan pengiktirafan ini.

Oleh itu, apakah langkah Tan Sri Annuar Musa membuat usul di parlimen selepas menghadirkan diri di dalam mesyuarat Dong Zong, maka beliau sedang membawa UMNO untuk tunduk kepada kehendak Dong Zong?

No comments: