Sunday, May 07, 2017

MCA : BLOK PEMBANGKANG KINI ADALAH PAKA'TUN'


Sememangnya tidak ada salah dan silap malahan tepat sekali apabila Datuk Wee Ka Siong Timbalan Presiden MCA menyelar blok pembangkang yang diterajui DAP telah menjadikan pakatan mereka hari ini hanya tinggal sebagai paka'Tun' sahaja.

Daripada Pakatan Rakyat (PR) yang dibawah ketua de facto mereka Anwar Ibrahim kemudian selepas PAS dinyahkan dan Wan Azizah menamakan pakatan baru mereka sebagai Pakatan Harapan (PH), kemudian setelah Tun Mahathir berjinak-jinak dengan mereka dan akhirnya semua di bawah telunjuk beliau.

Maka apa yang dikatakan Datuk Wee bertepatan dengan senario blok pembangkang di mana jangan kata DAP dan PKR, malahan PAS juga turut terkesan apabila diasak Tun M untuk menerima kata-katanya.

Jika dahulu Tun M dan Muhyiddin adalah bahan makian DAP, PKR dan PAN di setiap ceramah politik mereka selama lebih dari 40 tahun, sekarang diterima untuk bersepakat. Jika dahulu segala skandal dan salah guna kuasa Tun M diminta didedahkan, kini mereka sedaya upaya cuba pertahankan. Apa jadi dengan segala gelaran Tun M terhadap Kit Siang yang menggelar beliau rasis dan merbahaya jika DAP menerajui negara?

Begitu juga segala gelaran kepada Tun M sebagai 'MahaFiraun' dan 'MahaZalim' untuknya, apa sudah jadi sekarang?

"Kita mesti ada prinsip. Kalau tiada prinsip jangan berpolitik." kata Datuk Wee. Jika dilihat pakatan pembangkang ini, sememangnya mereka tiada prinsip yang telus yang mampu dijadikan contoh untuk rakyat. Manakan tidak, konon Pakatan Rakyat telah dibubarkan dan diwar-warkan secara besar-besaran tetapi PR masih wujud pula di Selangor.

Kononnya PH tidak bekerjasama lagi dengan PAS tetapi DAP dan PKR masih bekerjasama dengan PAS hanya kerana kerusi PAS melebihi dari PKR dan ada di antara ahli DUN PAS ingin mengekalkan jawatan exco di dalam DUN Selangor.

Permainan pakatan politik rojak pembangkang semakin ketara apabila berlakunya pertandingan di pilihanraya negeri Sarawak di mana kita lihat PAS, PKR dan DAP menentang sesama sendiri. Manakala di  PRK Sg Besar Selangor, PAS bertanding solo dan tidak disokong PKR malahan bergabung dengan DAP untuk calon pilihan mereka PAN.

Sedangkan PH (PAS, PKR dan DAP) bukan saja kekal malahan mentadb Selangor. Bayangkan dalam bermusuh masih ingin kekal mentadbir sebuah negeri dan apa berlaku kepada rakyatnya? Jangan hairan apabila segala masalah rakyat akan ditolak tepi tetapi percakaran politik terpaksa didahulukan kerana masing-masing mempunyai kepentingan sendiri.

Seperti lazimnya pembangkang, segalah pergelutan politik dalaman di kalangan mereka, mereka akan menuding jari kepada Barisan Nasional (BN). Oleh itu, Datuk Wee tidak hairan jika pergelutan yang berterusan dan gagal ditangani ini akan diletakkan kesalahan kepada BN. Masalah yang ditimbulkan mereka sendiri, akhirnya BN yang dituduh menjadi dalangnya.

Oleh kerana gagal meniru kesepakatn di antara parti-parti komponen di dalam Barisan Nasional yang jelas seperti adik-beradik yang mengutamakan persefahaman, hormat menghormati, patuh kepada Presidennya dan sentiasa membawa kepada perbincangan untuk segala permasalahan, pembangkang kini hanya mampu berilusi untuk disatukan di bawah satu logo.

Nampaknya dengan kehadiran Tun M ke blok pembangkang pun, beliau juga telah gagal membawa mereka bersatu. Kewujudan keutuhan Barisan Nasional bukan sesuatu yang baru dan bukan ditiru dari mana-mana ideologi politik di dunia. Ia diwujudkan dari sejak merdeka yang bermula dengan Perikatan dimulakan dengan gabungan 3 parti mewakili setiap bangsa utama di Tanah Melayu.

Samada Pakatan Rakyatke, Pakatan Harapanke atau Paka'Tun'ke, politik pembangkang sememangnya akan mengguna segala taktik kotor untuk menipu rakyat. Hanya di atas dasar saja nampak mereka sepakat tetapi disebaliknya, mereka akan terus bergelumang dengan persengketaan sesama sendiri.

Bertepatanlah apabila Datuk Wee menggelar mereka sebagai Paka'Tun' dan rakyat pula telah melihat mereka sebagai 'Pakatoon' yang menggambarkan betapa caca-marbanya blok pembangkang ini.

No comments: