Tuesday, July 25, 2017

MCA : KIT SIANG MASIH INGIN BERDALIH BILA DAP DIKETEPIKAN DALAM PH



Walau apa pun alasannya, DAP ternyata diketepikan dalam barisan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan dan jika Kit Siang ingin bandingkan demokrasi yang berlaku di dalam Barisan Nasional, beliau perlu berani berterus-terang dan tidak terus-terusan menipu rakyat.

Perbezaan kepimpinan di dalam Barisan Nasional adalah lebih adil dan demokratik dan merujuk kepada perlembagaan Barisan Nasional, setiap komponen parti dalam BN perlu melantik 3 wakil mereka untuk menghadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi tanpa mengira jumlah Ahli Parlimennya samada yang paling ramai mahupun ada di antaranya yang tidak langsung mempunyai wakil Ahli Parlimen.

Susunan sedemikian bukan sahaja menjamin perwakilan semua parti komponen dalam BN, malahan menjamin kedudukan yang sama mewakili kaum yang berlainan. Tidak ada satu parti komponen atau bangsa yang diwakili lebih daripada 50 peratus dalam Majlis Tertinggi BN. Walaupun UMNO mempunyai ahli parlimen teramai, namun mereka tetap mewakili 10 peratus di dalam Majlis Tertinggi.

Di dalam setiap keputusan Majlis Tertinggi BN, ia adalah keputusan bersama dari kesemua parti-parti komponen di mana BN mengamalkan seandainya ada di antara parti komponen yang menentang dan tidak bersetuju dengan sesuatu usul, ia tidak akan diluluskan dan dilaksanakan.

Ini ternyata apabila usul untuk meminda undang-undang Mahkamah Syariah yang dibawa Presiden PAS Dato’ Seri Hadi Awang ke Parlimen, oleh kerana Majlis Tertinggi BN tidak mendapat sokongan sebulat suara, akhirnya BN mengambil keputusan untuk tidak membentangkannya sebagai usul kerajaan.

Berbanding dengan Pakatan Harapan yang telah mengumumkan 12 jawatan dalam struktur kepimpinannya, terbukti ia adalah sesuatu yang tidak boleh dikatakan adil dan demokratik sebagaimana yang didakwa Kit Siang, malahan ia adalah satu barisan kepimpinan yang benar-benar berat sebelah.

Kit Siang yang ternyata adalah ahli politik yang paling senior berbanding dengan yang lain termasuklah Anwar dan Dr Mahathir, beliau tidak diberikan sebarang jawatan pun. Jika perkara utama seperti ini pun tidak dianggap yang DAP tidak dipedulikan, maka apakah Kit Siang dan DAP masih ingin kelirukan penyokongnya?

Bukan itu saja, DAP yang mempunyai Ahli Parlimen paling ramai dan terdiri daripada lebih dari 50 peratus dari jumlah MP pembangkang, mereka hanya diberikan jawatan untuk 1 Timbalan Presiden, 1 Naib Presiden dan Bendahari, apakah pemilihan PH ini adil sedangkan PPBM yang hanya ada 1 kerusi parlimen diberi 3 jawatan penting sebagai Pengerusi, Timbalan dan Naib Presiden?

Jika mengambil kira dari sudut wakil kaum atau kumpulan etnik dari Sabah dan Sarawak, terdapat 9 pemimpin Melayu yang mewakili 75 peratus dari jumlah Ahli Majlis Tertinggi PH, manakala hanya ada 2 yang mewakili bangsa Cina dan 1 untuk bangsa India. Dan lebih tidak masuk akal, hanya 1 saja yang mewakili Sabah dan Sarawak.

Apakah Kit Siang dan DAP berani mengaku yang Pakatan Harapan mewakili keseluruhan rakyat Malaysia? Apakah ini adalah demokrasi yang ingin dipertahankan DAP?

No comments: