Thursday, September 07, 2017

QAMAR WAN NOOR DARI SHELL KE SPAD SEBAGAI COO


Di dalam memantapkan lagi pengurusan SPAD, jantina bukan ukurannya kerana apa yang lebih penting adalah keupayaan dan kemampuan seseorang itu yang diutamakan. Pada 5 September lalu, Puan Qamar Wan Noor telah dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) yang baru dikhususkan untuk memantapkan projek-projek pengangkutan awam darat yang telah dipertanggungjawabkan kepada SPAD.

Sebagaimana di dalam laporan rasmi SPAD, Puan Qamar akan bertanggungjawab ke atas transformasi keseluruhan industri-industri pengangkutan barangan, bas dan teksi serta infrastruktur-infrastruktur berkaitan. Ini termasuk pelaksanaan projek-projek nasional seperti myBAS di bawah program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti dan penyusunan semula rangkaian bas di Greater Kuala Lumpur dan Lembah Klang bagi memastikan mod pengangkutan bas cekap, bersepadu dan mampan serta menekankan peningkatan mutu perkhidmatan bagi pengguna. 

Ini adalah bertepatan dengan sektor pengangkutan awam darat yang sedang berkembang pesat dan SPAD akan pastikan yang projek-projek yang telah diaspirasikan kerajaan bukan sekadar direalisasikan malahan diuruskan dengan baik sepertimana kejayaan MRT fasa Sungai Buloh - Kajang telah berjaya dilaksanakan terlebih awal dari jangka waktu dan penjimatan kos.

Puan Qamar telah dipilih berdasarkan kepada pengalaman 26 tahunnya bersama Shell di mana beliau telah memegang pelbagai jawatan termasuk sebagai pengurusan kanan di Malaysia, Asia Pasifik dan Timur Tengah. Beliau juga adalah penerima anugerah magna cum laude Sarjana Muda di dalam bidang Sains Kejuruteraan Kimia dari Rensselaer Polytechnic Institute, New York pada tahun 1990 dan setelah menamatkan pengajian, beliau telah memulakan kerjayanya sebagai seorang ahli teknologi penapisan di Shell pada tahun 1990.

Seorang lagi anak tempatan yang pasti dapat dibanggakan negara dalam industri pengangkutan awam moden bertaraf dunia ini. Pasti pilihan SPAD ini menepati apa yang dikehendaki negara menuju negara maju menjelang 2050 dan di antara 20 negara maju di dunia.

No comments: