Monday, November 06, 2017

APABILA MCA BERIKRAR SEDIA UNTUK GEMPUR PRU14


Semangat waja warga MCA untuk menebus kembali kekalahan mereka di 2 pilihanraya lalu bukan lagi satu kata-kata kosong malahan bakal menjadi mimpi ngeri untuk Pakatan Harapan terutamanya DAP. Selama ini, MCA diperlihatkan oleh DAP sebagai parti yang tidak akan mampu membela masa depan masyarakat Cina, justeru mereka mudah menjual impian dan harapan kepada mereka sehingga hampir 80% terpedaya memberi undi kepada mereka.

Hari ini, setelah kepimpinan MCA diterajui oleh dua pahlawan muda, Presidennya Dato’ Sri Liow Tiong Lai dan Timbalannya Datuk Seri Wee Ka Siong, MCA telah melalui transformasinya untuk memperkukuhkan organisasi parti, memperkasakan pasukan serta meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada orang ramai. Kini, MCA berikrar bersedia untuk gempur PRU 14 agar mendapat mandat baru yang lebih besar.

Begitulah yang dinyatakan Dato' Liow di dalam ucapannya ketika Mesyuarat Agung Tahunan ke-64 yang disaksikan Presiden Barisan Nasional Dato’ Sri Najib Tun Abdul Razak. Warga MCA sangat menghargai sokongan, dorongan dan komitmen PM Najib untuk sama-sama mengukuhkan MCA, lantas mereka berikrar bersedia berhadapan dengan DAP pada bila-bila masa.

Perkembangan yang dizahirkan kepimpinan MCA untuk menunjukkan masyarakat Cina hari ini telah beralih arah untuk menyokong mereka apabila pada 16 September lalu seramai 16 ribu penyokong MCA berhimpun untuk "Himpunan Patriotik Masyarakat Cina". Inilah penanda awal yang masyarakat Tiong Hua masih setia dan masih ingin membangunkan negara di bawa kepimpinan PM Najib.

Ini juga adalah kesan daripada transformasi MCA yang berpaksikan kepada pendekatan serampang tiga matanya iaitu “Teguh Bersama”, “Medan Inovasi” dan “10 Strategi Ekonomi” dan kini MCA suah pun ada nafas baru.

Di dalam Perhimpuan Tahunan MCA ini juga boleh diibaratkan seperti menunjukkan 'report cardnya' bukan saja kepada Presiden Barisan Nasional tetapi MCA juga ingin berkongsi pencapaian mereka bersama rakyat Malaysia. Di antaranya adalah KOJADI yang telah memberi bantuan dan pinjaman kepada usahawan SME dan juga mahasiswa institusi tinggi.

MCA telah menunjukkan rekodnya sebagai rakan yang setia serta sehati sejiwa bersama Barisan Nasional sejak Perikatan ditubuhkan. MCA juga telah sehati dan sejiwa bersama UMNO dan MIC ketika itu berjuang untuk mendapatkan kemeredekaan. Justeru, sehingga kini, walaupun dicabar dan dilempar dengan pelbagai tuduhan, ketika jatuh dan ketika MCA hampir ditolak masyarakat Cina, mereka tetap kekal berada bersama Barisan Nasional membina semula kekuatan parti.

Ini sangat berbeza dengan apa yang berlaku di blok pembangkang. Datuk Liow ingin kita mengimbau kembali kepada mereka yang cuba meniru Barisan Nasional. Dari Gagasan Rakyat ke Barisan Alternatif, kemudian berubah dari Pakatan Rakyat dan kini Pakatan Harapan pula. Dulu bergabung dengan Semangat 46 kemudian keluar, kemudian bersatu sekali lagi dalam Barisan Alternatif dan bersekongkol dalam Pakatan Rakyat. Bila tidak sehaluan, Pakatan Rakyat dibubar dan diwujud Pakatan Harapan dengan mencuri ahli-ahli PAS.

Selepas mengetahui tanpa PAS, mereka tidak akan kuat, mereka terima pula musuh lama yang pernah menjadi bahan utama dalam siri mencaci-maki, menyebar dan merekacipta fitnah dan membuat pelbagai tuduhan salahlaku. Parti yang dimaksudkan Datuk Liow ini bukan sukar untuk diteka dan tidak lain daripada DAP.

Dua dinosur politik negara kini sedang berebut menerajui Pakatan Harapan. Seorang adalah bekas PM yang sedang marah dan kecewa manakala seorang lagi sedang mabuk untuk berkuasa setelah berjaya merampas Pulau Pinang. Kini mereka bergabung untuk menakluk Putrajaya pula. Ironinya, setelah sekian lama berlaga angin, apakah mereka benar-benar sehaluan dan sehati sejiwa serta saling percaya-mempercayai?

Jika benar, mengapa sehingga kini Pakatan Harapan masih gagal menamakan Perdana Menterinya dan masih mengelak untuk menjawab?

Apakah sejarah DAP dan parti-parti lain tidak membuktikan yang mereka adalah sepertimana yang dikatakan Datuk Liow sebagai 'consistently inconsistent' dan sebaliknya MCA serta parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional pula, sentiasa 'consistently consistent'. Ini adalah kerana falsafah BN yang mendukung menghormati semua kaum dan bangsa serta budaya dan agama masing-masing.

Apabila semboyan pilihanraya telah kedengaran, Datuk Liow mengajak semua warga MCA dan juga Barisan Nasional merapatkan barisan, kuatkan semangat dan teruskan perjuangan untuk kemenangan yang lebih bergaya. 

MCA Boleh dan begitu juga BN pasti Boleh!


 

No comments: