Tuesday, May 08, 2018

ECRL : MRL DAN CCCC PASTIKAN 70 PERATUS DARI 30,000 PEKERJA ADALAH RAKYAT MALAYSIA


Pada 4 Mei lalu, pemilik projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) iaitu Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) bersama-sama dengan kontraktor utama projek, China Communications Construction Company Ltd (CCCC) telah mengadakan kempen pengambilan pekerja di Bentong, Pahang. Sasaran dan komitmen mereka adalah untuk  mengambil kira-kira 70 peratus pekerja Malaysia dalam pembinaan infrastruktur kereta api berimpak tinggi tersebut.

Ia telah diadakan sehari di Dewan Perbandaran Cina Bentong mulai jam 9 pagi hingga 5 petang. Kempen pengambilan pekerja di Bentong adalah sebahagian daripada jelajah di seluruh negara yang bermula pada Mac tahun ini yang melibatkan Kuala Lumpur, Kota Bharu, Dungun dan Kuantan. MRL dan CCCC juga merancang untuk mengadakan kempen pengambilan pekerja secara aktif di negeri pantai barat Semenanjung Malaysia serta di Sabah dan Sarawak untuk terlibat dalam projek infra rakyat berkenaan.

Menurut MRL, di Bentong akan mempunyai sebuah stesen kargo dan penumpang mengikut Skim Keretapi ECRL untuk Fasa 1, yang diluluskan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat pada Jun 2017. Stesen Bentong ini akan menjadi antara lapan stesen yang ditetapkan di Pahang di bawah penjajaran ECRL.

Di antara pengambilan segera di Bentong termasuk pekerja pengurusan, kejuruteraan, pengurusan pembinaan, perdagangan dan kontrak dan kerja makmal. Bagi graduan baharu dalam kejuruteraan awam serta pekerja pembinaan berkemahiran, separuh mahir, terutama berumur 18 hingga 35 tahun sememangnya digalak menghadiri temuduga.

Calon-calon yang berjaya akan berpeluang menyertai Program Latihan Kemahiran Perindustrian ECRL selama tiga bulan yang bertujuan untuk melatih rakyat Malaysia dengan set kemahiran teknologi kereta api. Apabila tamat, pelatih akan diserap sebagai pekerja sepenuh masa samaada oleh MRL, CCCC atau subkontraktornya nanti.

Kempen pengambilan pekerja selama sehari ini juga telah menawarkan pekerjaan lain seperti pekerja konkrit, pengimpal, juruelektrik serta pengendali jentera pengorek.

Sebagaimana yang kita ketahui, projek ini sedang berjalan lancar dan adalah menjadi komitmen MRL dan CCCC memastikan rakyat Malaysia memenuhi 70 peratus daripada 30,000 pekerja yang diperlukan semasa tempoh puncak pembinaan pada akhir 2019 nanti.

No comments: