Wednesday, March 05, 2014

BAS ELEKTRIK UNTUK PENDUDUK SUBANG JAYA TAHUN HADAPAN

Salah satu penumpuan di dalam NKRA (National Key Result Area) ialah menambaik pengangkutan awam bandar dengan memberi tumpuan dan peningkatan kepada faktor-faktor berikut;
  • pertambahan pengangkutan awam
  • ketepatan waktu perjalanan
  • keselesaan dan kemudahan pengangkutan
  • penyambungan dari satu stesen ke kawasan lain
  • penyusunan semula kekerapan perjalanan
  • penstrukturan semula kawal selia

BRT adalah satu sistem transit yang mengguna bas berasingan, dilengkapi dengan stesen moden, perkhidmatan bas pengantara, akses pejalan kaki bersepadu, kekerapan pengangkutan dan perkhidmatan yang tinggi frekuensi.


Buat julung kalinya, BRT Sunway Line telah menyahut saranan kerajaan untuk melaksanakan sistem transit bas di kawasan bandar dan bakal beroperasi pada bulan Jun tahun hadapan. Ia akan menghubungkan kawasan-kawasan utama di Sunway dan Subang Jaya di 7 stesen, dengan lebih strategiknya mampu menghubungi rangkaian pengangkutan awam yang lain kepada 500 ribu penduduk sekitar Bandar Sunway dan USJ Subang.

BRT Sunway Line juga akan menghubungkan stesen komuter KTM Sri Setia dan stesen LRT laluan Kelana Jaya di USJ Subang Jaya.

Suatu yang menjadi kelebihan projek BRT Sunway Line ialah pengangkutan bas elektrik. Disamping itu ia bakal menyediakan kemudahan tempat 'park and ride' berdekatan kampus Universiti Monash yang boleh memuatkan 1,200 kereta.

Bas ini juga akan mempunyai laluan khasnya sendiri dan bakal melalui kesemua pusat-pusat komersil utama. BRT Sunway Line juga akan menyediakan sistem bus mesra alam terkini dengan ciri-ciri mesra OKU.


Pengerusi SPAD bersama-sama pengerusi Prasarana, Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Pegawai Eksekutif SPAD, Mohamad Nur Ismal Kamal serta pengerusi Sunway Berhad, Tan Sri Jeffrey Cheah telah membuat lawatan untuk meninjau perkembangan projek ini semalam. Hampir 32% telah disiapkan dan sasaran untuk beroperasi di pertengahan tahun hadapan mampu mencapai sasarannya.

Pada fasa awal, BRT Sunway Line dijangka mampu membawa dua ribu penumpang pada setiap satu perjalanan dan 30 ribu penumpang sehari dengan kekerapan setiap lima minit.

Projek yang menelan belanja RM549 juta itu dimajukan oleh Syarikat Prasarana Negara Berhad dan Sunway Berhad. Ia adalah projek BRT yang pertama seumpamanya di Malaysia dari 12 laluan BRT yang dikenalpasti di seluruh negara.

No comments: