Saturday, May 31, 2014

OPS SERKAP : BERAKHIRNYA BAS UZUR DI JALANRAYA KITA



Melihat gambar di atas, apakah kita sebagai rakyat Malaysia terutama yang berada di ibukota masih inginkan bas yang berkeadaan yang sedemikian? Dengan segala arahan, amaran dan tidak kurang juga inisiatif kerajaan memperbaiki sistem pengangkutan awam bandar, masih terdapat keadaan bas yang bukan saja uzur dari segi fizikal basnya tetapi keadaan kotor yang dipenuhi sampah di lantai.

Didalam Ops Serkap yang dijalankan SPAD baru-baru ini, 2 buah bas yang di dalam keadaan uzur telah ditahan. Keadaan kerusi penumpang bas tersebut dikatakan berlubang terutama di bahagian penyandar. Terdapat juga sampah sarap diletak di bahagian kerusi belakang. Bahagian pejalan penumpang di dalam bas juga terdapat lantainya yang merekah dan boleh mengakibatkan penumpang tersungkur.
Fizikal badan bas yang berusia lebih dari 10 tahun ini juga berlubang di merata tempat, tingkapnya retak teruk dan paling teruk di bawah kerusi pemandu, mereka meletak batu bata.

Bukan sahaja keadaan fizikal bas ini teruk malahan yang paling utama apabila enjin bas ini dimulakan, asap hitam keluar dari lubang hawa dingin dan lampu brek tidak berfungsi.

Tidak dapat dibayangkan bas yang berkeadan sedemikian masih beroperasi di jalanraya dan di sekitar bandaraya. Ia bukan sahaja menyakitkan mata kita malahan ia mampu mengundang bahaya kepada penumpang dan mereka yang berada di jalanraya.

Datuk Che Hasni Che Ahmad
Amat wajar sekali apabila pihak SPAD menahan bas tersebut dan menurut Datuk Che Hasni Che Ahmad pengendali bas tersebut akan didenda dengan kadar maksimum sebanyak RM500,000, 2 tahun penjara atau kedua-duanya di bawah Seksyen 22 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.


Walaupun selama ini kita mendapati SPAD menumpukan operasi terhadap pemandu yang cuai dan melanggar undang-undang namun kali ini demi menjaga kepentingan penumpang serta memastikan imej negara tidak tercalar, bas yang di dalam keadaan sempurna dan fizikal yang cantik dan bersih diutamakan. Ini sangat sesuai untuk menarik pelancung luar negara apabila mereka juga menaiki kenderaan awam.


SPAD juga mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat di mana mereka boleh membuat aduan jika mereka mengalami keadaan bas yang uzur dan membahayakan.

Mereka boleh membuat aduan dengan maklumat terperinci seperti nombor pendaftaran kenderaan. Yang penting sekali ialah mereka juga secara sukarela perlu hadir membuat laporan penuh. Ini adalah untuk pihak SPAD dapat bertindak ke atas kes yang dilaporkan.



No comments: