Saturday, June 21, 2014

'SUPER BABY' SPAD MENJAWAB TEGURAN AUDIT NEGARA



SPAD yang baru berusia hampir 4 tahun ibarat anak kecil, ingin dilihat sebagai 'Super Baby' ketika melaksana tugas dan tanggungjawabnya. Walaupun menghadapi pelbagai dugaan dan cabaran, super baby ini hanya ingin memastikan kepentingan rakyat diutamakan.

Di dalam Laporan Audit 2013, SPAD didapati;

Tidak menjalankan pengauditan pematuhan keselamatan secara menyeluruh terhadap pengangkutan awam darat dan kenderaan perdagangan pada tahun 2011 dan 2012.

Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013, Siri 2, hari ini, SPAD hanya menumpukan pemeriksaan keselamatan terhadap syarikat bas ekspres dan tidak menjalankan pengauditan pematuhan keselamatan terhadap semua jenis pengangkutan awam darat yang lain.

Selain itu, laporan tersebut mendapati pada tahun 2011 sebanyak 43 syarikat pengangkutan awam telah diaudit oleh SPAD berbanding sasaran sebanyak 44 syarikat manakala sebanyak 169 syarikat telah diaudit melebihi sasaran sebanyak 156 syarikat pada 2012.

Justeru, pihak audit mengesyorkan SPAD mendapatkan kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya aktiviti penguatkuasaan dapat dijalankan secara menyeluruh.

Selain itu, semakan audit terhadap kes tangkapan SPAD dari tahun 2011 sehingga Oktober 2013 mendapati sebanyak 57.5 peratus kes atau 103 daripada 179 kes lewat diselesaikan iaitu melebihi 60 hari.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 58 kes lewat antara 61 hingga 240 hari, 30 kes (241-420 hari) manakala 15 kes lewat 421 hingga 600 hari.

Untuk itu, pihak audit mengesyorkan SPAD menetapkan tempoh penyelesaian kes di peringkat Bahagian Penguatkuasaan dalam Manual Prosedur Kerja.

Di samping itu, mekanisme pemantauan yang berkesan perlu diwujudkan termasuk perbincangan mengenai status tempoh penyelesaian kes dalam Mesyuarat Pengurusan bagi memastikan kes diselesaikan dalam tempoh yang ditetapkan. - Bernama

Ini adalah jawapan dari pihak SPAD;

LA (Laporan Audit) : SPAD hanya menumpukan pemeriksaan keselamatan terhadap syarikat bas ekspres?
SPAD :
SPAD adalah sebuah organisasi yang sangat baru dan setelah beroperasi hanya  pada 31 Januari 2011, tumpuan utama terhadap bas ekspres adalah berdasarkan sejarah di mana kenderaan ini merupakan jenis pengangkutan awam yang berisiko paling tinggi terhadap penumpangnya. Penilaian Laporan Audit Negara telah dibuat pada tahun 2011 di mana bahagian penguatkuasaan bertanggungjawab bagi keseluruahan Semenanjung Malaysia dan ketika itu SPAD hanya mempunyai 62 pegawai penguatkuasa.

Ketika itu juga, SPAD masih belum melaksanakan audit keselamatan tetapi dengan memperkenalkan Kod Amalan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Kesihatan (SPAD ICOP SHE) pada Ogos 2013, pihak SPAD telah mewajibkannya sebagai sebahagian syarat untuk mendapatkan lesen bagi syarikat pengendali. 
Syarat wajib baru ini dimulakan dengan bas-bas ekspres pada Ogos 2013 dan pada bulan Oktober 2013 pula untuk lori. Dalam masa terdekat, pihak SPAD akan mewajibkan SPAD ICOP SHE sebagai syarat kelayakan untuk mendapatkan lesen bagi pengendali bas sekolah dan akan berkuatkuasa pada pertengahan kedua 2014.

SPAD ICOP SHE adalah Kod Amalan yang sangat menyeluruh merangkumi kesemua aspek pengurusan keselamatan termasuk pemandu, kenderaan danpengurusan perjalanan. Sebagai sebahagian daripada syarat lesen, jika terdapat mana-mana syarat yang tidak dipatuhi, ini boleh mengakibatkan samada lesen akan dibatalkan atau digantung. Malah, di dalam beberapa kejadian baru-baru ini telah menunjukkan SPAD serius melaksana tugas serta tanggungjawab dan tidak teragak-agak mengambil tindakan ke atas setiap kesalahan.


LA : SPAD gagal memungut RM868, 798 atau 31% daripada jumlah kompaun yang dikeluarkan pada tahun 2011? 
SPAD :
Ingin menjelaskan bahawa di dalam Laporan Audit Negara, kesemua kompaun tertunggak dari kes yang belum selesai dalam tempuh 90 hari telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah. Malangnya perkara ini telah silap diklasifikasikan sebagai tiada kutipan disebabkan sistem IT SPAD yang agak ketinggalan.

Namun, disebabkan perkara tersebut dan selaras dengan rancangan jangka panjang, pihak SPAD telah mula mengadakan satu sistem baru yang dikenali sebagai 'SPAD Operator Licensing System' - Sistem Pelesenan Pengendali SPAD atau SPOLS bagi mengesan status kompaun dengan lebih tepat. SPOLS akan menjadi satu sistem yang lebih mantap di mana pihak SPAD mampu memantau status pengendali yang terkini di samping mendapatkan laporan untuk penguatkuasaan yang lebih cekap. SPOLS akan menggantikan sistem SIKAP yang agak ketinggalan pada bulan September 2015.

SPOLS juga mampu mengesan kes-kes yang telah didaftarkan di mahkamah di dalam senarai pendakwaan.


LA : SPAD perlu bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain?

SPAD :
Perlu dijelaskan bahawa Suruhanjaya ini telah melaksanakan strategi 'Blue Ocean' dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain. SPAD telah pun menandatangani MOU dengan operasi bersepadu bersama-sama PDRM, DBKL, JPJ, Perbadanan Putrajaya, MIROS dan JKJR pada 19 Oktober 2012 lalu. Operasi bersepadu juga seringkali diadakan bersama-sama agensi-agensi tersebut di dalam menegakkan undang-undang.

Kerjasama ini juga termasuk mengguna kawasan simpanan milik agensi-agensi ini untuk kenderaan-kenderaan yang disita oleh SPAD. Suruhanjaya ini di dalam proses mengembang dan memperbaiki kemudahan penguatkuasaan dan telah mengenalpasti kawasan baru di Mukim Labu, Nilai bagi menyimpan kenderaan-kenderaan yang telah disita. Pejabat Penguatkuasa zon selatan SPAD akan berpindah ke Menara Cyberport, Johor Bharu dengan keluasan 13,000 kaki persegi.

Kesemua ini akan dapat memenuhi keperluan untuk menyimpan kenderaan yang di sita dalam keadaan selamat, kawasan simpanan untuk pameran, kelengkapan penguatkuasaan dan menyediakan bilik-bilik yang kondusif ketika siasatan dijalankan.

Nampaknya SPAD sangat responsif terhadap setiap teguran dan cadangan di dalam Laporan Audit Negara. Di dalam meningkatkan pelan halatuju agar berfungsi sebagai agensi penguatkuasa dan pengawal selia dengan lebih efisien, SPAD sememangnya mengalu-alukan segala input yang diperolehi dan akan disalurkan secara positif demi kebaikan Rakyat.

Walaupun harapan yang diletakkan rakyat terhadap SPAD agar berfungsi sebagai 'super baby', sedaya mungkin mereka akan cuba memberi impak yang optimum walaupun berhadapan dengan sumber yang terhad. SPAD sentiasa melaksana amanah untuk kepentingan rakyat dan pelan hala tuju untuk meningkatkan keupayaan SPAD adalah jelas dan kekal sebagai proses yang akan diteruskan.

No comments: