Monday, March 23, 2015

PETEKMA RASIONAL DALAM MENYOKONG PENGUMUMAN SPAD


Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana dia yang telah memutuskan perkara ini dan Tan Sri Syed Hamid yang telah mengeluarkan fakta-fakta yang benar tentang kenaikan kos operasi. 

Itulah ungkapan pertama yang dikeluarkan Pengerusi PETEKMA (Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia, Mohd Shahrir Abdul Aziz.

Walaupun ada pihak yang menentang dan cuba mempolitikkan isu kadar baru teksi, namun PETEKMA yang mempunyai 23,000 ahli di seluruh negara memohon dan merayu agar kenaikan tambang teksi ini tidak ditangguhkan.

Shahrir berpandangan ini bukan sekadar siapa ingin menjadi juara rakyat tetapi lebih kepada 'periuk nasi' pemandu-pemandu teksi.

Selama lebih dua tahun Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membuat kajian dan PETEKMA telah mengambil bahagian dan sentiasa hadir di dalam perbincangan untuk sama-sama memberi input, pandangan dan mengesahkan fakta-fakta serta maklumat sebagai rujukan kepada SPAD sebelum keputusan dibawa kepada pihak kerajaan.

Apakah benar dengan kadar baru teksi ini benar-benar memberi kesusahan kepada seluruh rakyat Malaysia terutama mereka yang duduk di bandar?

Kaedah pengangkutan awam di bandar bukan hanya teksi sahaja dan kadar tambang adalah lebih murah berbanding tambang teksi. Di dalam sehari seramai lebih kurang 300 ribu penumpang dan hanya 50 ribu sahaja yang mengguna perkhidmatan teksi. Oleh itu, perkhidmatan teksi hanya diperlukan oleh golongan yang memerlukan. Di mana dikatakan membebankan keseluruhan rakyat?

Pendapatan sehari seseorang pemandu teksi adalah sekitar RM50 hingga RM80 yang bekerja 12 jam dan pada kadar yang lama. Justeru, ini boleh diibaratkan mereka ini seperti kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Benchmark dalam menentukan pendapatan seseorang pemandu teksi adalah kos operasinya di mana kos operasi merangkumi kos bahan api yang tidak pernah diberi subsidi, kos penyelenggaraan (wear and tear) dan bayaran sewa kepada syarikat.

Kajian SPAD pula membuktikan sejak 6 tahun lalu, segala kos operasi untuk memastikan teksi di dalam keadaan selamat untuk bergerak seperti tayar, spare-parts, bateri telah meningkat sehingga 33% sejak 6 tahun.

Pihak PETEKMA yakin dengan kajian SPAD di mana ia bukan angka yang ditangkap muat malahan SPAD telah melibatkan pakar-pakar  pengangkutan awam dari univerisiti-universiti serta melibatkan juga NGO-NGO pengguna di dalam kajian ini. Kajian SPAD merangkumi kos operasi, kos sara hidup, pandangan pengguna dan juga keadaan semasa.

Seandainya masa yang tidak sesuai adalah asas kepada penangguhan kadar baru teksi ini, maka apakah setelah 3 kali ditangguhkan sejak tahun lepas dan kali ini GST pula dijadikan alasan?

Perlu diingat, penumpang tidak dikenakan GST malahan komponen-komponen penyelenggaraan termasuk kos PUSPAKOM akan dikenakan GST dan semua itu akan ditanggung oleh pemandu-pemandu teksi.

Minyak tiada subsidi, alat-alat ganti dikenakan GST, penumpang tidak dikenakan GST TETAPI kadar tambang teksi masih di tahap lama sejak 6 tahun lalu. Apakah rasional untuk ditangguhkan lagi kenaikan tambang teksi ini?

Bagi pihak PETEKMA, sekiranya kerajaan masih kekalkan keputusan untuk menangguh kadar baru teksi, maka perlu diberi bantuan alternatif dengan memberi subsidi ke atas kesemua komponen operasi termasuk bahan api.

Namun, PETEKMA yang ahlinya diwakili majoriti pemandu teksi dari seluruh negara tidak sekali-kali akan memilih demonstrasi jalanan atau mogok untuk menyelesaikan masalah malahan sejak ditubuhkan PETEKMA, cara bermesyuarat dan rundingan adalah pilihan utama mereka.

Berdasarkan kepada kenyataan-kenyataan di atas, maka adalah wajar bagi pihak kerajaan meneruskan kadar tambang teksi yang baru dan kepada mereka yang ingin membuat kenyataan, seharusnya berpandukan fakta-fakta dan bukan sekadar sentimen untuk kepentingan pentas politik mereka. Seandainya PETEKMA menyokong pengumuman SPAD, ini adalah kerana mereka berpuas hati dengan kajian SPAD!

No comments: