Thursday, July 09, 2015

SPAD BAKAL PERKENAL CARA BARU MEMANTAU PEMANDU TEKSI

Sebagai sebuah negara yang terkenal dengan penduduknya yang ramah mesra, kita pasti akan terkilan apabila satu kaji selidik ke atas perkhidmatan teksi 10 bandaraya dan Kuala Lumpur berada di kedudukan terakhir. Kaji selidik yang dilakukan oleh LondonCabs.co.uk mendapati keadaan kenderaan yang buruk dan pemandu yang tidak jujur.

Di antara rungutan yang masih kedengaran adalah keengganan pemandu mengguna meter, pemandu memilih jarak jalan yang lebih jauh dan mengenakan kadar tambang yang lebih tinggi.

Kini, bagi meningkat dan memperbaiki perkhidmatan teksi , pihak SPAD akan memperkenalkan satu program sistem perintis pada akhir tahun iaitu Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat (CTSS) di mana ia satu inisiatif untuk kemudahan penumpang memperoleh maklumat perkhidmatan teksi.

Menurut Pengerusi SPAD Tan Sri Syed Hamid Albar, ini adalah merupakan salah satu inisiatif utama SPAD untuk meningkatkan mutu perkhidmatan teksi di negara. CTSS akan menyalurkan maklumat data kepada SPAD bagi menyelaraskan di antara permintaan dan bekalan teksi.

Teksi-teksi ini juga akan dilengkapkan dengan teknologi GPS (Global Positioning System). SPAD beserta pihak penguatkuasa yang berkenaan akan mampu memantau pergerakan pemandu-pemandu teksi kerana kenderaan yang dipandu akan dihubungkan dengan CTSS. Pihak SPAD juga boleh mengesan lokasi teksi dan bertindak sebagai pusat perhubungan bagi mengarah mereka ke destinasi penumpang.

Di samping itu, CTSS juga mampu memantau kesalahan yang sering dilakukan pemandu teksi seperti enggan mengguna meter, pemandu yang cuai dan membawa teksi tanpa lesen yang sah.

Aplikasi MeterOn yang telah diperkenalkan SPAD telah banyak membantu penumpang teksi dalam melaporkan pemandu yang enggan mengguna meter dan mereka yang mengenakan tambang berlebihan. Sejak kadar tambang teksi baru diluluskan kerajaan pada 19 Mac lalu, jumlah pemandu yang enggan mengguna meter telah menurun dari 614 ke 414.

Maka diharap agar inisiatif baru bagi memperkenal CCTS ini mampu memperbaiki perkhidmatan teksi terutama di bandaraya Kuala Lumpur dan sekali gus mampu memperbaiki kedudukan prestasi perkhidmatan teksi di dalam kaji selidik LondonCabs dan juga di mata dunia.

No comments: