Wednesday, October 21, 2015

RESPON PENYERTAAN KAJI SELIDIK KERETAPI LAJU KL-SINGAPURA SANGAT MEMBERANGSANGKAN


Sejak dilancarkan Kaji Selidik Pasaran Bersama projek Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) di antara Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat Malaysia (SPAD) dan Pihak Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) melalui Permintaan untuk Maklumat (RFI) pada 7 Oktober lalu, sebanyak 150 syarikat dan konsortium telah mendaftarkan minat untuk mengambil bahagian.

Pengumuman ini telah dibuat pihak SPAD baru-baru ini di mana sehingga jam 6 petang pada 16 Oktober 2015, pendaftaran telah diterima daripada rangkaian nilai industri HSR yang berpusat di Malaysia, Singapura, Asia Pasifik, Eropah, Timur Tengah, dan Amerika Utara.

Kaji selidik pasaran melalui kaedah RFI lazim dibuat dalam sesuatu proses eksesais untuk membuat keputusan dan menjadi penanda aras yang biasanya mengikut format yang boleh digunakan untuk tujuan perbandingan. Eksesais ini mampu mengumpul maklumat minat pasaran dalam sesuatu projek serta mengumpul pendapat industri mengenai aspek komersial dan teknikal tertentu projek berkenaan.

Projek mega HSR di antara Malaysia dan Singapura yang menenlan belanja berpuluh bilion ini, sedang melalui fasa proses tender dan maklumbalas RFI yang diterima akan digunakan dalam perbincangan dua hala yang berterusan. Melalui RFI, maklumat maklumbalas dari pihak yang berkepentingan ini mampu membantu memperbaiki dan mengesahkan pilihan projek ini adalah tepat dan melancarkan proses mengeluarkan tender.

Terdahulu, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar telah memberi respon kepada Moody’s Investors Service Singapore Pte Ltd, sebuah organisasi penganalisa projek, bahawa faedah jangka panjang projek HSR bagi Malaysia adalah jelas dan tidak dapat dinafikan dan kerajaan amat komited untuk melaksanakan dasar yang betul untuk kebaikan rakyat.

Moody's juga telah menyentuh perihal kos tiket yang jika ia sama dengan tiket kapal terbang KL-Singapura, maka berkemungkinan projek mega HSR ini tidak akan memberi banyak kesan.

Namun, sebagai langkah meyakinkan bahawa projek keretapi ini mengimbangi keperluan orang awam dan beroperasi secara mampan, SPAD telah melantik perunding bagi membuat kajian di dalam menilai daya maju projek ini dari perspektif teknikal dan kewangan, termasuk ekonomi projek dan kesan ke atas sosio-ekonomi kepada kedua-dua negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan rakan sejawatan di Singapura, Lee Hsien Loong secara rasmi bersetuju untuk membina sambungan HSR, yang dijangka mengurangkan masa perjalanan antara Kuala Lumpur dan negara itu kepada 90 minit.

Dengan respond yang memberangsangkan dari pihak berkepentingan dalam jangka waktu singkat ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Malaysia (SPAD) mewakili Malaysia dan Land Transport Authority (LTA) pula mewakili Singapura, mereka yakin maklumbalas ini mampu memastikan projek HSR ini dapat berjalan dengan lancar.

Syarikat-syarikat yang belum mendaftar minat untuk mengambil bahagian masih berpeluang berbuat demikian kerana semua maklum balas perlu dikemukakan kepada pihak SPAD dan LTA sebelum jam 12 tengah hari pada 18 Novemebr 2015. Eksesais RFI ini dijangka akan dimuktamadkan pada akhir tahun ini.

No comments: