Sunday, May 08, 2016

BANTUAN DANA SEMENTARA BAS HENTI-HENTI PERLU DILANJUTKAN UNTUK RAKYAT LUAR BANDAR

Di dalam mencapai matlamat mod pengangkutan awam darat sebagai pilihan utama rakyat, kerajaan telah mengambil langkah bukan sekadar menaik taraf infrastrukturnya, menambahbaik perkhidmatan dan operasinya malahan membantu syarikat-syarikat pengendali. Bas henti-henti adalah di antara pilihan utama kenderaan awam rakyat selain daripada rel dan teksi.

Pada satu ketika, perkhidmatan bas henti-henti yang kebanyakannya beroperasi di kawasan luar bandar dan kawasan perumahan, hampir tidak bernyawa dan terdapat juga beberapa syarikat pengendali yang tidak mampu meneruskan perniagaan mereka oleh kerana kos operasi yang meningkat dan kebanyakan rakyat telah mampu untuk memiliki kenderaan persendirian.

Namun masih ada pertimbangan dari pihak kerajaan untuk membantu syarikat-syarikat pengendali bas henti-henti memandangkan permintaan penumpang masih wujud terutama di kawasan perumahan yang rancak diwujudkan di sekitar berhampiran bandar-bandar kecil di seluruh tanahair.

Dana Sokongan Sementara Bas Henti-henti atau Interim Stage Bus Support Fund (ISBSF) telah diperuntukkan sebanyak RM400 juta bermula Januari 2012. Ia adalah bantuan sementara untuk membantu syarikat pengendali bas henti-henti dapat meneruskan operasi mereka di laluan-lauan sosial atau laluan yang kurang menguntungkan mahupun mengaktifkan laluan yang telah ditamatkan perkhidmatan.

Dana sementara dari kerajaan akan berakhir pada tahun ini dan di dalam penilaian pihak SPAD ia perlu diteruskan agar perkhidmatan bas henti-henti ini terus dapat memberi perkhidmatannya kepada rakyat terutama di sekitar bandar-bandar kecil dan juga kawasan luar bandar. Peratusan penggunaan bas henti-henti sebagai pengangkutan awam di ibu-ibu negeri adalah lebih kurang 5%.

Walaubagaimanapun, pihak SPAD yang telah dipertanggungjawabkan memantau dan menganalisa keberkesanan bas henti-henti mendapati hampir 245,000 penumpang harian di setiap ibu negeri di Malaysia dan memberi faedah serta kemudahan pengangkutan awam kepada 90 juta penumpang setiap tahun yang melalui 608 laluan bas di Semenanjung Malaysia. Laluan bas henti-henti di bawah ISBFS ini juga tidak meliputi laluan MyBus dan juga laluan rel bandar.
Oleh itu, ISBSF seharusnya dilanjutkan dan diteruskan agar lebih dari 100 syarikat pengendali bas henti-henti meneruskan perkhidmatan mereka terutama laluan-laluan kecil di luar bandar di mana penduduk sangat-sangat memerlukan dan bergantung kepada bas henti-henti sebagai pengangkutan utama mereka.

Baca juga ... 172 PENGENDALI BAS HENTI-HENTI DISELAMATKAN DENGAN DANA SOKONGAN SEMENTARA SEJAK 2012

No comments: