Sunday, August 14, 2016

#SPAD : PELUANG KEEMASAN PROJEK BRT FASA KEDUA UNTUK SYARIKAT TEMPATAN


Dalam usaha kerajaan meningkatkan kecekapan sistem pengangkutan awam, projek sistem perkhidmatan bas elektrik atau Bas Rapid Transit (BRT) akan melalui fasa keduanya yang dijangka bermula pada 2018 dan siap dalam tempoh dua tahun nanti. Projek BRT adalah satu daripada usaha kerajaan di bawah inisiatif Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Sistem BRT fasa kedua ini adalah laluan sepanjang Lebuh Raya Persekutuan atau lebih dikenali dengan 'Federal Highway', yang menghubungi Kuala Lumpur-Klang akan melalui laluan LRT dan Komuter di sepanjang 34 kilometer di mana 25 stesen akan dibina sepanjang laluan nanti.

Oleh yang demikian, ketika pembentangan kertas kerja mengenai ‘Transformasi Pengangkutan Awam Malaysia’ pada Siri Persidangan Affin Hwang Capital 2016, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pe­ngangkutan Awam Darat (SPAD), Encik Mohd. Azharuddin Mat Sah telah menggalakkan mana-mana syarikat tempatan untuk merebut peluang keemasan ini.

Saranan perniagaan untuk syarikat-syarikat tempatan boleh dilakukan samada menerusi kerjasama ataupun sebagai rakan kongsi dengan syarikat lain yang memiliki kepakaran dan keupayaan kewangan. Kerajaan dijangka akan memulakan tawaran cadangan permohonan (Request for Proposal -RFP) pada suku keempat tahun ini.

Laporan awal SPAD telah menunjukkan bahawa projek itu dijangka menelan belanja kira-kira RM1 bilion yang mampu memberi keselesaan perkhidmatan kepada seramai 600,000 penumpang setiap hari. Ketika ini, kira-kira seramai 213,000 penumpang menggunakan perkhidmatan bas dari KL ke Klang setiap hari yang mengambil masa kira-kira 70 minit.

BRT akan mampu mengurangkan masa perjalanan mereka dengan ketara, dengan perjalanan yang dijangka mengambil masa kira-kira 40 minit.

Sunway Line merupakan projek BRT pertama di negara ini yang mempunyai tujuh stesen menghubungkan stesen Sunway-Setia Jaya ke USJ7 di Subang Jaya dengan laluan sepanjang 5.4 km dan menelan belanja RM634 juta.

Walaupun syarikat luar telah pun mengambil bahagian, sudah tentu pihak kerajaan mengalu-alukan penyertaan syarikat tempatan untuk sama-sama terlibat di dalam projek ini memandangkan ia amat penting dalam meningkatkan kecekapan pengangkutan awam di negara ini di samping memenuhi keperluan masyarakat.

No comments: