Wednesday, September 14, 2016

BAS GoKL KEKAL RELEVAN

Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan,
Datuk Seri Adnan Md Ikshan turun padang

Dakwaan yang mengatakan perkhidmatan Bas Bandar GoKL tidak efisien dan sebagai satu bentuk pembaziran kerajaan oleh sesetengah pihak adalah tidak benar, sebaliknya kemudahan itu dilihat dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga kota.

Oleh yang demikian, bagi melihat keberkesanan perkhidmatan percuma Bas Bandar GoKL ini, maka Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikshan sendiri telah turun padang bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas apakah benar ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya, seakan-akan bas tiada penumpang.

Ketika meluangkan masa kira-kira 45 minit menaiki Bas Go KL (Laluan ungu) dari hentian Pasar Seni, melalui beberapa hentian utama pusat bandar termasuk Menara Kuala Lumpur, Bukit Bintang, dan Pavilion, aduan yang beliau terima didapati tidak menepati alasan apabila perkhidmatan bas percuma bandaraya ini dipenuhi dengan pelbagai golongan termasuk pelajar, pelancong asing, serta warga kota yang bekerja di kawasan pusat bandar.

Perkhidmatan Bas Bandar Go KL mula beroperasi pada 2012 dengan memperkenalkan dua laluan iaitu hijau dan ungu. Perkhidmatan itu kemudiannya dikembangkan pada 2014, dengan penambahan dua lagi laluan iaitu biru dan merah, merangkumi laluan-laluan utama ibu negara termasuk berhampiran stesen transit aliran ringan LRT.

Ia merupakan inisiatif kerajaan melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (Spad) untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di kawasan Central Business District (CBD) Kuala Lumpur, yang menjadi sebahagian daripada Pelan Transformasi Kerajaan dalam usaha mempertingkatkan penggunaan pengangkutan awam dan mengurangkan penggunaan kenderaan persendirian.

Mana mungkin bas percuma yang dilengkapi dengan pendingin hawa, tempat duduk yang selesa serta melalui laluan-laluan utama di ibu negara tidak dimanfaatkan komuniti setempat? Maka jelas, dakwaan mereka-mereka yang tidak berpuas hati adalah tidak benar sekali kerana ini adalah perkhidmatan kerajaan untuk rakyatnya yang mampu dimanfaatkan.

Inilah salah satu cara kerajaan menangani kesesakan lalu lintas di bandaraya, maka perkhidmatan bas GoKL akan sentiasa relevan dan tiba masanya kita beralih kepada pengangkutan awam yang mampu menjimatkan perbelanjaan dan masa.

No comments: