Sunday, October 23, 2016

KERAJAAN TERUS UTAMAKAN PENGANGKUTAN AWAM DI DALAM BAJET 2017


Seperti yang sering dinyatakan komitmen kerajaan untuk memastikan pengangkutan awam darat dan sistemnya dipertingkatkan, peruntukan perbelanjaan untuk industri ini diteruskan di dalam Bajet 2017.

Suruhanjaya yang dipertanggungjawab, SPAD sangat mengalu-alukan peruntukan Bajet 2017 yang telah dibentangkan YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober 2016, di mana di antara yang diperuntukan adalah;
TEKSI

Kelulusan peruntukan sebanyak RM60 juta akan membantu penerima permit teksi individu berkelayakan yang keluar daripada sistem pajak untuk membeli kenderaan baru dengan penerimaan geran RM5,000. Ini mencerminkan komitmen Kerajaan untuk membangunkan taraf industri ini di bawah Program Transformasi Industri Teksi. Tambahan pula, Kerajaan telah mengumumkan perkenalan jaringan keselamatan melalui skema PERKESO bagi pemandu teksi yang layak.

PENGANGKUTAN BANDAR

Demi meningkatan mobiliti dan mengurangkan kesesakan di kawasan  Greater Kuala Lumpur / Lembah Klang (GKL/KV) yang kian mengalami urbanisasi, Kerajaan telah komited dalam merealisasikan projek-projek yang berwawasan seperti Penyambungan Laluan bagi laluan Kelana Jaya dan Ampang. Ini termasuk projek MRT Sungai Buloh – Kajang yang bakal beroperasi.

PENGANGKUTAN LUAR BANDAR

Di luar kawasan Lembah Klang, sebanyak RM100 juta diperuntukkan bagi pemulihan laluan Pantai Timur yang telah musnah akibat banjir kilat pada tahun 2014. Ini akan memulihkan kesalinghubungan bagi kawasan luar bandar yang bergantung kepada perkhidmatan rel.

ETS

Pengenalan 19 set tren ETS baru yang akan beroperasi bagi laluan Johor Bahru – Padang Besar akan mempertingkatkan frekuensi perkhidmatan serta kapasiti bagi memenuhi permintaan untuk perkhidmatan ini yang kian berkembang pesat.

REL - ECRL

Sehubungan itu, SPAD mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri bahawa Kerajaan akan meneruskan projek Rel Laluan Pantai Timur (ECRL) dengan peruntukan RM55 bilion. Projek ECRL ini yang merangkumi jarak 600km akan menghubungkan kawasan GKL/KV dengan bandar-bandar di Pantai Timur, termasuk Bentong, Kuantan, Kuala Teregganu, Kota Bahru dan Tumpat. Seiring dengan itu projek ini juga akan membolehkan pertumbuhan sosioekonomi di sepanjang jajaran serta membawa faedah dan perubahan kepada rakyat.

Bajet untuk pengangkutan awam darat merupakan di antara peruntukan yang terbesar dan berterusan. Ini jelas menunjukkan yang kerajaan sangat komited untuk memastikan hubungan mobiliti rakyat mendapat keutamaan di mana kerajaan di bawah kepimpinan DS Najib Razak yakin dapat meningkatkan sosio-ekonomi rakyat yang seterusnya merealisasikan negara maju menjelang 2020 nanti.

Ini juga membuktikan prihatin kerajaan dengan nasib rakyat untuk memastikan kemudahan pengangkutan awam darat setanding negara maju.

No comments: