Tuesday, March 07, 2017

TANPA MCA, SUARA MASYARAKAT CINA BAKAL TERPINGGIR


Di dalam negara yang mengamalkan sistem demokrasi, suara majoriti di dalam politik adalah suara yang menentukan hala-tuju sesebuah negara dan di negara ini, jika masyarakat Cina masih menafikan kuasa politik MCA yang mewakili parti pemerintah Barisan Nasional, akhirnya mereka akan terus terpinggir dan berkemungkinan akan terus tenggelam.

Inilah mesej utama Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai di dalam ucapannya ketika meraikan Ulang Tahun MCA ke 68 yang mengekalkan tema perjuangan parti masyarakat Cina dengan 'Stronger Together'.

MCA yang terbentuk sejak 68 tahun yang lalu di ketika bangsa Cina sedang berhadapan dengan masa depan yang tidak menentu. Maka di dalam menuntut kemerdekaan, pemimpin ulung MCA Tun Sir Tan Cheng Lock telah berusaha untuk menyatukan bangsa Cina malahan beliau yang dilihat sebagai seorang yang berpandangan jauh telah bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin bangsa lain untuk membuka jalan menuju kemerdekaan Tanah Melayu dan seterusnya Malaysia.

Selama itulah MCA berpegang kepada nilai-nilai sederhana, mengekal dan mempertahankan konsep perkongsian kuasa antara pelbagai kaum di dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional.

Walaupun sekarang perjuangang MCA telah disalahertikan oleh sesetengah pihak, MCA tetap tegas dalam memperjuangkan hak-hak politik Cina dan  pertahankan yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, meningkatkan kekuatan ekonomi, pendidikan dan budaya masyarakat Cina. MCA juga akan terus menjadi tunggak penting bagi mengekalkan masyarakat yang aman dan harmoni.

Lihat saja pada hari ini di mana politik DAP yang melampau sedang menguasai masyarakat Cina tetapi kesannya, perwakilan masyarakat Cina sebenarnya telah terpinggir.

Datuk Liow mengajak masyarakat Cina untuk belajar mengenai realiti politik di mana DAP bukanlah pilihan terbaik untuk masa depan bangsa Cina di negara ini kerana pendekatan gimik politik merekalah wujudnya perpecahan di kalangan masyarakat Cina, malahan DAP juga tidak mampu meletakkan parti mereka sebagai pemerintah dan selama itulah masyarakat Cina akan berada dalam belenggu yang sangat pasif.

Masyarakat Cina hari ini sedang menghadapi cabaran yang paling ketara dalam tempoh 60 tahun. Realitinya, jika MCA terus-terusan tidak mendapat sokongan pengundi Cina, maka sekaligus tidak akan ada perwakilan bangsa cina di dalam politik tanahair dan berterusanlah masyarakat Cina akan menghadapi pelbagai cabaran yang sukar.

Oleh itu, Datuk Liow menggesa semua anggota MCA, pemimpin masyarakat Cina, dan semua masyarakat Cina di Malaysia untuk bersatu padu untuk melindungi sistem negara demokrasi dengan kepelbagaiannya serta memelihara model politik perkongsian kuasa dalam memerangi politik yang mampu merosakkan perpaduan.

 

No comments: