Tuesday, September 12, 2017

MASAKAN DAP HANYA BERANI PERGUNA PAN UNTUK DESAK AZMIN?


Satu resolusi telah diluluskan PAN sebulat suara di dalam konvensyen di peringkat negeri Selangor agar Menteri Besarnya Azmin Ali mengkaji semula kedudukan PAS. Sebagaimana kita tahu, PAN adalah parti serpihan PAS yang telah dibiaya dan mendapat persetujuan DAP. Dengan itu, apakah DAP hanya berani mengguna desakan PAN untuk beri amaran kepada Azmin dan PKR Selangor?

Pada PRU 12 dan 13, DAP telah meletakkan kepercayaan penuh kepada Kit Siang dan Guan Eng mempengaruhi masyarakat Cina untuk menerima PAS dan mengundi mereka. Kedua-dua anak beranak ini sememangnya terkenal dengan kempen mereka yang agresif dan lantang bersuara untuk menonjolkan diri masing-masing agar kekal berkuasa di dalam parti.

Malangnya, apa yang berlaku sangat mengecewakan dan akibatnya masyarakat Cina telah terkeliru dan ditipu kerana yakin dengan dakyah DAP. Malahan masyarakat Melayu terutama di kalangan penyokong PAS merasakan diri mereka dikhianati dan ditipu selama kerjasama politik mereka di dalam Pakatan Rakyat.

Walaupun PAS telah memuktamadkan keputusan untuk tidak meneruskan kerjasama politik dengan PKR, namun di Selangor tidak seperti yang telah diputuskan dan kononnya Pakatan Rakyat tidak dibubarkan di mana PKR, DAP dan PAS masih bekerjasama. Jika ada yang terlepas pandang, mereka sedang mengguna topeng yang berbeza dan berlakon kepada penonton yang berbeza yang pada hakikatnya telah menyerlahkan sikap sebenar mereka yang tiada pendirian dan kepura-puraan untuk menyinkir PAS dari pentadbiran Selangor.

Ketidaktentuan politik blok pembangkang ini berlarutan sehinggakan kini PKR telah berperang sesama sendiri secara terbuka dan akhirnya mereka berpecah di anatara yang menyokong Azmin dan yang kekal memilih konsensus Pakatan Harapan untuk tidak bekerjasama dengan PAS. Sedangkan di antara Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir juga tidak sependapat. Peliknya, DAP kekal menikus.

Apa yang pasti, resolusi sebulat suara dari PAN dan perletakan jawatan MP Selayang PKR William Leong mengetuai biro politik PKR agar Selangor tidak meneruskan kerjasama politik dengan PAS adalah jelas dan tegas tetapi di mana suara DAP Selangor yang lantang selama ini? Kit Siang yang akan membuat komen ke atas apa saja isu tetapi di dalam kerjasama PKR Selangor membelakangkan konsensus Pakatan Harapan, beliau telah tiba-tiba menjadi pekak dan bisu.

Itulah persoalan yang diketengahkan MCA kepada DAP dan terutamanya Kit Siang yang sendiri mengumumkan pembubaran Pakatan Rakyat membelakangi Wan Azizah. Masakan saranan PAN pun tidak mendapat sokongan DAP secara terbuka sedangkan parti itu adalah di bawah tajaan mereka? Jika DAP berani singkirkan PAS dari Pakatan Rakyat, apakah DAP takut untuk singkirkan PKR dari Pakatan Harapan yang terang-terang melanggar perjanjian bersama untuk tidak bekerjasama dengan PAS?

Bagi MCA, Selangor adalah contoh terbaik untuk menunjukkan betapa Pakatan Harapan terdiri daripada blok pembangkang yang tidak mempunyai prinsip yang kekal dan hanya rakus ingin merebut kuasa. Prinsip mereka akan berubah-ubah dan musuh lama seperti Dr Mahathir pun boleh bertukar menjadi rakan sekutu dan rakan dijadikan musuh dalam sekelip mata asalkan mereka kekal berkuasa sahaja.

Apakah pakatan pembangkang seperti ini perlu kekal di Selangor dan rakyat terus-terusan dipermainkan?

No comments: