Saturday, October 28, 2017

BAJET AUTA PAKATAN HARAPAN VS BAJET KOMPREHENSIF BARISAN NASIONAL


Bajet alternatif yang telah diumumkan Pakatan Harapan sekadar umpan untuk meraih undi rakyat pada PRU-14 manakala bajet 2018 yang telah dibentangkan PM Najib Razak mewakili kerajaan Barisan Nasional, tiada siapa berani menyangkal ia adalah bajet terbaik yang pernah ada di dalam sejarah negara. 

Ini adalah nyata apabila bajet alternatif PH gagal mengambil kira kesan pelaksanaannya kepada negara dan negara tidak mungkin mampu menanggung segala yang ditawarkan PH tanpa mempunyai sumber pendapatan yang mampan. Apabila menawarkan pembelajaran percuma untuk semua peringkat umur, ini menuntut kos tambahan melebihi RM60 bilion setiap tahun.

PH yang lebih cenderung untuk menghapuskan GST dan kembalikan SST seperti era Dr Mahathir, terlupa yang harga minyak global dunia masih tidak stabil dan walaupun negara adalah pengeluar minyak, namun jika dijual ke pasaran terbuka, tiada jaminan yang negara mampu mendapat pulangan yang memuaskan dan berterusan.

Kutipan GST telah terbukti menggantikan pendapatan negara dari hasil minyak secara konsisten dan mantap. Jika dihapuskan, maka negara bakal kehilangan 43 bilion setahun tanpa ada alternatif lain. Akhirnya rakyat juga yang bakal menanggung bebannya. Langkah ini bukan saja akan membuatkan negara bankrap tetapi memaksa negara untuk berhutang, sekali gus menghancurkan ekonomi negara.

Di samping itu, PH cuba menarik minat rakyat kononnya bajet alternatif mereka mampu menghapuskan rasuah yang akan menjimatkan sebanyak 20 biion tetapi apakah asas kepada angka ini? Lebih auta lagi apabila yang berjanji adalah mereka yang sedang menghadapi dakwaan mahkamah dengan tuduhan rasuah dan salah guna kuasa sehinggakan negeri di bawah pentadbiran mereka sedang bergelumang dengan pelbagai masalah akibat dari berleluasanya amalan rasuah.

Bajet 2018 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula bukanlah bajet pancingan pilihan raya, sebaliknya ia adalah kesinambungan kepada program transformasi ekonomi dan sosial rakyat bagi memastikan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjadi antara yang terbaik di dunia. Bajet 2018 ini juga akan menjadi bajet yang mengawal defisit belanjawan negara dan menjadi harapan rakyat yang sebenar-benarnya.

Manfaatnya sangat inklusif di mana kehendak segenap lapisan rakyat diberi perhatian. Ia termasuklah manfaat rakyat di bawah negeri tawanan pembangkang di mana PM Najib telah menghapuskan kutipan tol di di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor; Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor.

Walaupun dicerca puak pembangkang yang kononnya menggadai kedaulatan negara dan tuduhan-tuduhan liar yang lain sehingga negara bakal bankrap, bajet 2018 yang dibentangkan PM Najib telah menyerlahkan beliau sebagai pemimpin negara yang ikhlas, berani dan benar-benar berjiwa besar.

Mana mungkin sesiapa pun mampu menafikan yang bajet 2018 dari BN ini adalah satu peruntukan yang komprehensif  yang menyediakan pelan perancangan holistik sehingga merangkumi generasi tahun 2050. Ini termasuklah dana tabungan permulaan Amanah Dana Anak Malaysia (ADAM50) selain dari membina jati diri dan spiritual rakyat menghadapi pasca 2020 dalam bidan pendidikan dan latihan kemahiran.

Oleh itu, Tan Sri Annuar Musa selaku Ketua Penerangan UMNO mengajak semua lapisan rakyat tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan geografi menyahut seruan PM bahawa bajet ini untuk kesejahteraan semua dan kepentingan ekonomi negara pada keseluruhannya.

Janganlah jadi seperti Pakatan Harapan, memberi janji yang tidak pasti tetapi pada masa yang sama mereka tidak menyedari mengaku kejayaan kerajaan di bawah pentadbiran Barisan Nasional sehinggakan imej kulit buku `Belanjawan Alternatif' mereka juga terpaksa memaparkan gambar bangunan ikonik negara yang terserlah kejayaan negara.
 

No comments: